Belanjawan 2020: Bantuan SBGP-OKU diharap ditingkatkan

Mahfuz (empat dari kiri) bersama penerima SBGP-OKU di Dewan Jubli Intan Pontian di sini hari ini.
Mahfuz (empat dari kiri) bersama penerima SBGP-OKU di Dewan Jubli Intan Pontian di sini hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Sumber Manusia berharap Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU) dapat ditingkatkan menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentang tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, permohonan yang diterima dalam SBGP-OKU daripada seluruh negara pada tahun ini cukup tinggi dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 juta.

Jelasnya, menerusi skim itu tiada bayaran balik perlu dibuat sebaliknya OKU yang mempunyai perniagaan akan dibantu dari segi pemberian peralatan yang sesuai selepas dinilai Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Di Johor sebanyak 80 permohonan SBGP-OKU diterima setakat ini. SBGP-OKU kini mendapat perhatian dari OKU yang melakukan perniagaan.

"Kementerian berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentang kelak akan beri perhatian untuk tingkatkan bantuan ini," katanya.

Beliau ditemui pada Karnival Pendidikan Khas Integrasi dan Hari Koperasi Integrasi Pendidikan Khas Pontian Berhad di Dewan Jubli Intan Pontian di sini hari ini.

Seramai empat OKU yang mengusahakan perniagaan di Pontian menerima geran bantuan SBGP-OKU dengan nilai keseluruhan RM55,193.

Salah seorang penerima geran bantuan SBGP- OKU, Azman Zakaria, 37, berkata, perniagaan menjual makanan di Gerai MARA Benut yang diusahakan sejak tiga tahun lalu, menjadi sumber rezeki selepas dia tidak mampu berjalan akibat kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perniagaan terbabit diusahakan bersama rakannya Mohd Hamdan Abdullah,51, yang juga menghidap polio.

"Syukur atas bantuan diberikan, di mana peralatan memasak seperti dapur akan ditambah baik.

"Saya dan rakan mulakan perniagaan menjual makanan seperti burger, chicken chop dengan guna duit simpanan kira- kira RM300," katanya.