KPKT bantu 11,000 usahawan kecil

Zuraida (duduk depan, tiga dari kanan) dan Mukhriz (duduk depan, empat dari kanan) bergambar bersama semua peserta konvensyen PEKB selepas majlis perasmian di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
Zuraida (duduk depan, tiga dari kanan) dan Mukhriz (duduk depan, empat dari kanan) bergambar bersama semua peserta konvensyen PEKB selepas majlis perasmian di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 11,000 usahawan kecil dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di kawasan bandar menyertai Program Azam Bandar atau kini dikenali Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di seluruh negara sejak 2013 dalam usaha keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, program berkenaan bertujuan untuk melatih usahawan kecil yang bermula daripada bawah tanpa melibatkan kriteria besar seperti memerlukan premis dan juga penyata kewangan bank.

Menurutnya, program tersebut bertujuan meningkatkan kualiti hidup usahawan kecil dan apabila mereka berjaya ia juga secara tidak langsung mampu membantu ekonomi negeri dan juga negara.

"Kita mahu fokus kepada kawasan-kawasan B40 dalam membantu membantu komuniti itu sendiri bagaimana mereka mahu menjana pendapatan. Kita pilih Kedah kerana negeri ini mempunyai potensi tinggi dalam mengembangkan ekonomi negeri dan negara melalui industri kecil ini. Saya berharap peluang ini akan dimanfaatkan oleh rakyat Kedah.

"Program ini juga khusus dalam mengenal pasti usahawan-usahawan kecil dan masih lagi bertatih, tidak perlu banyak sangat kriteria seperti premis dan penyata kewangan bank. Kita kenal pasti mereka dan kita bimbing mereka hingga menjadi usahawan berjaya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen PEKB oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Zuraida berkata, terdapat 10 bidang yang diberikan penumpuan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu makanan dan minuman, bakeri, jahitan, salon/spa, perkhidmatan dobi dari rumah, landskap, kimpalan, asuhan kanak-kanak dan peruncitan dan perkhidmatan pembaikan barangan elektrik dan elektronik.

Jelasnya, semua peserta tersebut adalah golongan yang berdaftar di dalam sistem e-Kasih dan bukan sahaja terhad kepada kaum Melayu sahaja.

"Semua peserta ini adalah mereka yang berdaftar di dalam sistem e-Kasih dan terdapat kira-kira 10 peratus bukan Bumiputera dari 11,000 usahawan kecil itu telah memanfaatkan peluang yang diberikan ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Zuraida, terdapat peserta yang hanya bermula di tepi jalan namun kini meraih pendapatan ribuan hingga puluhan ribu ringgit sebulan hasil pemerkasaan ekonomi yang digerakkan oleh KPKT.