'Harga gula sekilo lagi mahal dari getah'

Mohd Johari kanan dan Najmi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk DUN Kupang.
Mohd Johari kanan dan Najmi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk DUN Kupang.
A
A
A

BALING - Penoreh di sini mendakwa mereka tidak mampu untuk membeli sekilo gula untuk kegunaan keluarga ekoran kejatuhan harga getah skrap di paras RM2.20 sekilogram.

Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail berkata, harga sekilo gula ialah RM2.85, lebih mahal daripada harga sekilogram getah skrap.

"Harga getah sekarang ini ialah RM2.20 dan harga gula sekilo RM2.85. Nak beli gula pun tak cukup.

"Itu belum lagi masuk cerita bab ikan dan lain-lain lagi," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan sekampit beras dan barangan dapur kepada 50 penduduk di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad.

Mohd Johari berkata, beliau mendapati penduduk amat memerlukan sumbangan makanan berdasarkan pengalaman menyampaikan sumbangan hari ini.

Menurutnya, penduduk sanggup menunggu dari jam 11 pagi hingga 1 petang untuk mendapatkan sumbangan makanan.

"Seperti program kita di DUN Bayu, sepatutnya ia berlangsung jam 11 pagi tetapi ditunda hingga jam 1 petang kerana terdapat masalah teknikal.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun penerima sumbangan tidak berganjak sebaliknya tunggu sampai kami tiba. Ini menggambarkan betapa perlunya sumbangan ini untuk mereka. Penduduk sangat bersyukur," katanya.

Mohd Johari berkata, diharap kerajaan dapat memberikan perhatian penuh kepada golongan penoreh kerana saban tahun isu kejatuhan harga getah tetap berlaku.

Dalam pada itu katanya, selain bantuan di Kupang, Muslim Care turut menyampaikan sumbangan di beberapa buah kawasan sekitar DUN Bayu, DUN Kuala Ketil dan sekitar Sik dengan jumlah penerima seramai 300 orang.

"Kami mengagihkan 300 kampit beras dan barangan dapur lain kepada penduduk memerlukan hasil sumbangan rakyat Malaysia," katanya.