X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: Desak letak calon UMNO

Jefridin (dua dari kanan) dan Md Othman (dua dari kiri) hadir pada mesyuarat khas UMNO Bahagian Tanjung Piai malam tadi.
A
A

PONTIAN - Seramai 88 ketua cawangan UMNO Bahagian Pontian sebulat suara mahu kerusi Parlimen Tanjung Piai (P165) diberikan kepada parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, pihaknya berharap agar pucuk pimpinan UMNO di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendengar suara akar umbi dalam membuat pemilihan calon kelak.

Menurutnya, di peringkat bahagian mereka juga bersetuju supaya Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan kelak.

“Mesyuarat pada malam tadi menyaksikan desakan akar umbi parti yang mendesak supaya kerusi Parlimen Tanjung Piai hendaklah diwakili oleh UMNO.

"Dengan situasi ketika ini telah sampai masanya kerusi Parlimen Tanjung Piai digilirkan kepada calon dari UMNO setelah beberapa penggal sebelum ini diberikan kepada MCA,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat khas malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Md Othman Yusof, Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israk Abdullah dan Dr Md Isa Ismail.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, 21 September lalu kira-kira jam 6 pagi lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid, 42, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Ahli UMNO Bahagian Tanjung Piai berharap agar calon dari parti itu dipilih pucuk pimpinan bagi menghadapi PRK Tanjung Piai.
Ahli UMNO Bahagian Tanjung Piai berharap agar calon dari parti itu dipilih pucuk pimpinan bagi menghadapi PRK Tanjung Piai.