'Spiderman Perancis' ditahan di Jerman

Alain Robert atau 'Spiderman Perancis' (tengah) ditahan pihak berkuasa selepas memanjat Menara Skyper di Frankfurt am Main,Jerman hari ini. - Foto AFP
A
A

FRANKFURT - Alain Robert atau lebih dikenali sebagai 'Spiderman Perancis' kerana kehandalannya memanjat bangunan tinggi di seluruh dunia ditahan selepas memanjat Menara Skyper di bandar Frankfurt, Jerman hari ini.

Robert, 57, hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke puncak bangunan 42 tingkat setinggi 154 meter itu tanpa sebarang peralatan keselamatan atau kebenaran pihak berkuasa.

Aksinya memanjat bangunan terbabit menyebabkan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar.

Sementara itu, pihak polis telah bersiap sedia menahan Robert yang sering melakukan aksi sedemikian sejak tahun 1994.

Antara bangunan pencakar langit yang pernah ditawannya ialah bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa di Dubai dan Menara Eiffel di Paris.

Ogos lalu, Robert memanjat sebuah bangunan di Hong Kong sambil membawa 'sepanduk keamanan' susulan protes keganasan yang melanda bandar raya berkenaan namun kali ini Robert tidak memberi sebarang alasan mengapa dia memanjat bangunan terbabit. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Spiderman Perancis gantung sepanduk di Hong Kong