Polis LA tingkat kawalan susulan tayangan filem 'Joker'

Poster filem 'The Joker' di luar bangunan Warner Brothers Studio di Burbank, California. - Foto AFP
Poster filem 'The Joker' di luar bangunan Warner Brothers Studio di Burbank, California. - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - Jabatan Polis Los Angeles merancang menambah bilangan anggotanya di sekitar panggung wayang sempena tayangan filem 'Joker' berikutan terdapat kebimbangan berhubung isi kandungannya.

Seorang jurucakap polis memberitahu AFP, meskipun tidak terdapat ancaman ketara di Los Angeles, jabatan terbabit akan meningkatkan kawalan apabila filem itu ditayangkan minggu depan.

"Kami menggalakkan semua orang bergembira menikmati keseronokan hujung minggu di bandar ini namun penduduk diminta berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling," kata jurucakap Rosie Cervantes.

Filem terbitan Warner Bros itu menampilkan watak penjahat lakonan Joaquin Phoenix sebagai hero dan beberapa pengkritik berpendapat ia menghasut keganasan.

Filem 'Joker' ditayangkan tujuh tahun selepas kematian 12 mangsa di Aurora, Colorado apabila seorang penembak bersenjata melepaskan tembakan ketika tayangan filem 'Batman, The Dark Knight Rises'.

Terdahulu beberapa keluarga mangsa insiden di Aurora mengemukakan surat terbuka yang menyatakan kebimbangan terhadap filem berkenaan yang memaparkan watak 'Joker' seorang anak muda terdesak yang cuba membina karier sebagai pelawak namun sering disingkir masyarakat lalu mendorongnya mengambil tindakan sendiri dengan cara kejam.

Dalam pada itu, Warner menafikan pihaknya cuba menjulang watak utama filem tersebut atau jalan ceritanya menyokong keganasan.

"Bukan niat filem, pembuat filem atau pihak studio untuk mengangkat watak terbabit sebagai hero," kata Warner yang turut menghadkan akses wartawan akhbar dan penyiaran di acara karpet merah filem 'Joker' Sabtu ini di TCL Chinese Theatre di Hollywood.

Artikel Berkaitan:

Beberapa panggung wayang juga dilaporkan melarang pemakaian kostum, topeng dan lukisan muka di tayangan filem 'Joker' susulan kebimbangan filem tersebut mencetuskan kembali pembunuhan tahun 2012. - AFP