Hospital swasta digesa kenakan kos rawatan lebih berpatutan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan tiga perkhidmatan baharu di Hospital Mount Miriam hari ini.
Tiga perkhidmatan terbaharu yang terdapat di hospital berkenaan ialah Ambulatory Procedure Department, MRI dan CyberKnife. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan tiga perkhidmatan baharu di Hospital Mount Miriam hari ini. Tiga perkhidmatan terbaharu yang terdapat di hospital berkenaan ialah Ambulatory Procedure Department, MRI dan CyberKnife. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan berharap hospital swasta akan mengurangkan bayaran kos rawatan mereka bagi memastikan kadar bayaran dikenakan berada dalam ruang lingkup kemampuan para pesakit, selepas cukai perkhidmatan diketepikan kerajaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, oleh kerana kerajaan semasa tidak mengenakan cukai perkhidmatan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital swasta, beliau berharap pusat-pusat rawatan swasta dapat mengurangkan kos rawatan mereka.

"Kerajaan sebelum ini mengenakan enam peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST). Kami tidak mengenakan cukai itu kerana kita hendak membantu mereka yang memerlukan rawatan.

"Kerajaan hilang berbilion (ringgit) di sini, jadi kita harap ini akan dapat membantu dalam mengurangkan kos rawatan di pusat-pusat rawatan swasta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tiga perkhidmatan baru di Mount Miriam Cancer Hospital di sini hari ini.

Turut hadir di acara hari ini ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, Ahli Parlimen Bukti Bendera, Wong Hon Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif ​​​​​​ Hospital, Joan Lim-Choong.

Bagaimanapun Guan Eng berkata, sektor pelancongan perubatan ketika ini di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan beliau telah meminta supaya Dr Afif mengatur mesyuarat antara beliau dengan wakil-wakil hospital swasta di Pulau Pinang untuk berbincang mengenai rancangan masa depan mereka.

Beliau berharap, hospital-hospital swasta akan mengurangkan kos rawatan kesihatan mereka, kerana beliau merasakan pihak hospital masih boleh peroleh keuntungan menerusi peningkatan jumlah pesakit yang datang mendapatkan perkhidmatan mereka.

"Sebaik sahaja anda meningkatkan jumlah kehadiran bagi pesakit, khususnya pesakit dari luar negara, ini akan membantu dari segi keuntungan yang diperoleh kerana kita juga sedang menghadapi saingan yang sengit dari negara-negara jiran dalam soal rawatan kesihatan ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun dengan saingan sengit, Malaysia masih di maju hadapan di sebabkan kualiti perkhidmatan yang kita tawarkan, kemampuan kita, dan tempat yang paling sesuai untuk pulih,” katanya.

Terdahulu Lim yang juga Ahli Dewan Undangan negeri Air Putih melancarkan tiga perkhidmatan baru yang terdiri daripada CyberKnife Robotic Radiosurgery, Ambulatory Procedure Department (APD) dan mesin Pengimejan Resonans Magnet (MRI) bernilai RM25 milion.

Guan Eng berkata, beliau gembira melihat Mount Miriam Cancer Hospital dapat memainkan peranannya dalam membantu orang ramai, khususnya dari kalangan pesakit yang tidak berkemampuan. - Bernama