Sultan Ismail Petra mangkat

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V iaitu Sultan Ismail Petra mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada jam 8.11 pagi tadi.

Menurut laman Facebook Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, jenazah Al-Marhum Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan terakhir dan dijangka Istiadat Pemakaman akan dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu.

Dalam entri Facebook tersebut turut disertakan etika berpakaian untuk penghormatan terakhir tersebut.

"Etika berpakaian untuk kerabat Diraja adalah berbaju Melayu putih, bersampin putih, songkok hitam beralas kain putih di atas dan baju kurung putih bagi perempuan.

"Manakala etika berpakaian untuk orang awam ialah berbaju Melayu putih, bersampin putih, bersongkok hitam beralas kain putih dan baju kurung putih bagi perempuan," tulisnya.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan tempoh berkabung bermula hari ini dan cuti selama dua hari bermula esok bagi menghormati kemangkatan ayahanda Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, cuti diberikan pada hari Ahad dan Isnin ini iaitu selama dua dan perkabungan juga akan bermula pada hari ini.

"Almarhum Sultan dijangka dikebumikan hari ini selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Diraja Langgar," katanya kepada pemberita di sini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Yakob (tengah) selepas sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim di sini.
Ahmad Yakob (tengah) selepas sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra kira-kira jam 8.11 pagi tadi.

Wan Azizah menerusi ciapan di Twitternya berkongsi mengenai berita kesedihan itu.

“Dengan penuh takzim dukacita dimaklumkan kemangkatan KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, pada Jam 8.11 pagi 28 September 2019 di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu,” tulisnya.

Perkhabaran duka itu turut dikongsi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Dukacita dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Al-Sultan Yahya Petra telah mangkat pagi tadi jam 8.11 pagi.

“Takziah kepada keluarga Al-Marhum. Sama-sama kita doakan Al-Marhum dirahmati dan termasuk dalam kalangan orang-orang beriman,” tulisnya di Facebook.