Cari pembunuh Adib, jangan sia-siakan kematiannya!

Kamal Affendi
Kamal Affendi
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mencari pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pihak berkuasa perlu memastikan Muhammad Adib tidak terkorban sia-sia dan pembunuhnya perlu dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.

"Bukti sudah jelas apabila inkues hari ini memutuskan kematian arwah Muhammad Adib menjurus kepada perbuatan jenayah.

"Jadi PDRM mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat untuk mencari pelaku sebenar berdasarkan bukti, saksi serta dapatan inkues," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Kamal Affendi berkata, masyarakat menuntut keadilan buat anggota bomba terbabit.

"Mereka yang bertanggungjawab perlu segera diheret ke muka pengadilan demi kedaulatan undang-undang di negara ini. Jangan biarkan kes Muhammad Adib ini lenyap tanpa ada pihak yang menerima hukuman atau pembalasan.

"Walaupun hukuman itu tidak akan mampu mengembalikan arwah tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memberi pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bahawa negara ini mempunyai undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk menetapkan garis panduan semua rumah ibadat di negara ini perlu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

"CCTV ini perlu dipasang kira-kira 50 meter di kawasan rumah ibadat bagi membuat pemantauan sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: Kerajaan serah pada PDRM

Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki

Jangan jadikan keputusan Inkues Adib isu perkauman: TPM