Maszlee menitiskan air mata bimbang ada pegawai KPM tak sehaluan

Maszlee kelihatan sebak sambil mengesat air mata ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 hari ini. - Foto Facebook Maszlee Malik
Maszlee kelihatan sebak sambil mengesat air mata ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas (SEIC) 2019 hari ini. - Foto Facebook Maszlee Malik
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menitiskan air mata apabila menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan ada dalam kalangan pegawainya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak sehaluan dengan aspirasi yang mahu ditonjolkannya.

Memetik laporan sebuah portal berita, Maszlee menyeru golongan pelaksana agar mengetepikan kepentingan peribadi kerana ketidaksepakatan hanya akan menjejaskan aspirasi kerajaan sekali gus masa depan pelajar-pelajar di negara ini.

“Tolong rakan sekerja saya dan kawan-kawan saya di Kementerian Pendidikan, sila jangan sia-siakan anak-anak kita. Jangan pernah sia-siakan negara kita.

“Sila letakkan kepentingan negara kita sebelum kepentingan peribadi kita,” katanya dalam satu ucapan penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas di sini hari ini.

Menurut Maszlee, segala perancangan yang direncana tidak akan dicapai sekiranya hanya beliau dan Timbalannya, Teo Nie Ching sahaja yang beria-ia untuk melaksanakan aspirasi pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedangkan ia tidak disambut baik oleh pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan.

Dalam masa sama beliau mengakui tempoh lima tahun yang diberikan adalah terhad.

“Saya rasa waktu diberikan kepada kami terhad. Dalam tempoh lima tahun ini kita perlu laksanakan persoalannya adakah mampu kita laksanakan.

“Kita sediakan pelbagai polisi sebagainya tapi di penghujung adalah pelaksanaan itu sendiri. Kalau hanya saya dan Timbalan Menteri dan kerajaan PH yang mempunyai impian kami tapi di peringkat pelaksanaan tidak berkongsi impian serupa, kita akan lihat kegagalan di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Maszlee turut melahirkan kebimbangannya tidak dapat meninggalkan apa-apa jasa kepada masyarakat kerana masih banyak lagi perkara yang belum dijayakan beliau sejak memegang jawatan menteri sejak Mei tahun lalu.

“Saya bimbang saya tidak boleh meninggalkan sesuatu untuk mereka dan untuk negara semasa saya masih berkhidmat,” kongsinya.

Sementara menerusi laman sosial Facebook miliknya, Maszlee menjelaskan mengapa beliau emosi ketika berucap dalam masjlis berkenaan:-

1) Di sebalik ribuan penyertaan termasuk 11 delegasi pembentang dari luar negara, realiti di luar sangat berbeza. Terlalu banyak urusan yang belum selesai mengenai orang kurang upaya (OKU) terutama yang berkaitan dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi.

2) Di sebalik tahap penganjuran yang kelihatan begitu gah, realitinya Bahagian Pendidikan Khas di Kementerian Pendidikan (KPM) masih banyak perlu dilakukan.

3) Tahap kesediaan dan kemahuan para pegawai yang perlu bergerak lebih laju dengan reformasi ini.

4) Lagu Imagine yang dinyanyikan sangat menyentuh perasaan.

Ada sebab yang jelas tentang mengapa saya agak emosional di majlis Special Education International Conference (SEIC...

Posted by Dr Maszlee Malik on Friday, September 27, 2019