Polis tidak pernah tutup siasatan kes kematian Adib

Datuk Huzir Mohamed. Foto: ZAHID IZZANI
Datuk Huzir Mohamed. Foto: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak pernah menutup siasatan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, yang maut dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengambil maklum akan keputusan inkues ke atas kematian Muhammad Adib yang dibuat Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

"Sehubungan itu, kita akan menunggu arahan lanjut daripada pihak peguam negara berdasarkan keputusan hakim Mahkamah Koroner itu.

"Siasatan polis ke atas kes jenayah terhadap Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup dan masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Mahkamah Koroner membuat keputusan kematian Muhammad Adib adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Koroner Rofiah Mohamad berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan Allahyarham telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Artikel Berkaitan: