Wanita pertama dilantik sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa

Dr Rohana Ithnin - FOTO MUIS
Dr Rohana Ithnin - FOTO MUIS
A
A
A

SINGAPURA - Buat pertama kalinya seorang wanita dilantik sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

MUIS dalam satu kenyataan berkata, Dr Rohana Ithnin, 56, dilantik untuk tempoh tiga tahun oleh Presiden Halimah Yacob.

Presiden Halimah melalui Facebooknya memberitahu pelantikan Ustazah Rohana sebagai satu langkah 'progresif dan inklusif'.

Tambahnya, Jawatankuasa Fatwa mempunyai peranan penting membimbing Muslim Singapura untuk menunaikan tanggungjawab keagamaan mereka sesuai dengan keadaannya.

"Menerusi fatwa-fatwa yang dikeluarkan, ia membantu membentuk nilai masyarakat setempat," katanya.

Halimah dalam tulisannya juga memberitahu, Dr Rohana berpengalaman sebagai seorang pendidik dan pemimpin masyarakat selain pernah mengajar di tiga madrasah setempat.

Sementara itu, Dr Rohana sudah berkhidmat sebagai anggota bersekutu dengan jawatankuasa berkenaan sejak tiga tahun lalu dan menjadi sebahagian daripada anggota Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Sebelum ini, Dr Rohana mendapat pendidikan di St Francis Girls 'School hingga di peringkat A level sebelum melanjutkan pengajiannya ke Universiti Al-Azhar di Kaherah dan Universiti Islam Negeri Jakarta.

Artikel Berkaitan:

Dr Rohana yang baru saja menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian Islam di Universiti Ibn Khaldun di Indonesia.

Jawatankuasa Fatwa dipengerusikan oleh Mufti Fatris Bakaram dan jawatankuasa baharu itu mempunyai empat anggota penuh, 21 ahli bersekutu dan akan berkhidmat dari 2019 hingga 2022. - Agensi