Kematian Adib disebabkan jenayah sekumpulan individu tidak dikenali
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.
Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusannya sebentar tadi selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.
Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
"Saya merumuskan bahawa kecederaan blunt chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri," katanya.
Menurutnya, kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan semasa turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
"Polis gagal mengawal perusuh yang menyerang FRT dan EMRS sebaik sahaja sampai ke lokasi untuk memadamkan kebakaran," katanya.
Sehubungan itu, Rofiah berkata, mahkamah menyerahkan dapatan tersebut kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan sekiranya diperlukan.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan inkues kematian Muhammad Adib
Kecederaan Adib tidak seperti dipukul
Pakar yakin punca kecederaan akibat tendangan
Inkues menyiasat kematian Adib itu berlangsung selama 41 hari pendengaran dan menyaksikan 30 saksi termasuk saksi pakar memberi keterangan.
Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan di Seafield pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan wujud dua versi bercanggah.
Satu versi mendakwa Allahyarham dilanggar oleh kenderaan, manakala satu lagi versi mengatakan dia dipukul oleh perusuh.