Kes amuk di kilang: Jangan buat sebarang spekulasi

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin
A
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kesal dengan beberapa pihak yang membuat andaian buruk dengan mengaitkan insiden itu bagi mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat.

"Saya amat berduka cita dengan kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada pihak yang terlibat.

"Bagaimanapun, saya amat kesal apabila ada pihak yang mengaitkan kejadian ini dengan pelbagai spekulasi. Mereka dilihat sengaja berbuat demikian untuk mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat.

"Namun, saya percaya rakyat Pulau Pinang tidak akan terpengaruh dengan dakwaan sempit ini. Ini kerana tidak ada pihak yang akan memperoleh kebaikan sekiranya berlaku perpecahan atau pergaduhan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berharap polis dapat menyiasat pihak yang sengaja menimbulkan spekulasi bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat itu.

Ahmad Zakiyuddin turut meminta agar semua rakyat negeri ini meneruskan kehidupan dengan rukun dan harmoni seperti sebelum ini.

"Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan usaha untuk melaksanakan agenda pembangunan yang berteraskan perpaduan dan semangat kekeluargaan seperti yang yang terkandung dalam Visi Penang 2030.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu usaha adalah untuk memperkenalkan program 'Adab Berbeza Pendapat' yang akan mendidik masyarakat kaedah dan cara untuk menangani pelbagai perbezaan. Kita percaya perbezaan bukanlah satu yang merugikan sebaliknya keunikan dan kekuatan Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, polis menembak mati seorang lelaki yang mengamuk dan menetak dua pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, suspek berusia 25 tahun dikatakan mengamuk dalam kilang terbabit dan menetak dua pekerja iaitu seorang lelaki dan seorang wanita hingga parah.

Bagaimanapun, wanita berusia 47 tahun itu meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala lelaki berusia 53 tahun yang juga pengarah bahagian kawalan keselamatan dilaporkan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes amuk Polis rekod keterangan 10 individu