X

Kindly register in order to view this article
!

300 pengusaha vanila digalak bentuk koperasi

Abdul Fattah (tiga dari kanan) bersama Mohd Feisal (dua dari kiri) selepas melakukan lawatan kerja di ladang tersebut.
A
A

TEMERLOH - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyeru 300 pengusaha vanila di negara ini supaya bergabung mewujudkan Koperasi Vanila Berhad berikutan potensi besar yang dimiliki oleh tanaman terbabit.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kewujudan koperasi terbabit dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan selain menjadi sebuah entiti bisnes yang menjana keuntungan tinggi serta faedah besar kepada ahli koperasi.

Menurutnya, ia dapat dilihat menerusi pasaran vanila yang disifatkan menjana keuntungan dan pendapatan lumayan kepada pengusaha terbabit.

"Angkasa boleh membantu dari segi khidmat nasihat, penganjuran kursus, pinjaman dan geran tahunan yang sesuai kepada koperasi itu nanti.

"Oleh itu, 300 pengusaha vanila di negara ini wajar menubuhkan koperasi supaya segala aktiviti dan perancangan berkaitan vanila dapat dilaksanakan dengan lebih teratur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di ladang Vanila Temerloh seluas 1.2 hektar milik Mohd Feisal Mohammad Norawi, 37, di Kampung Bangau Parit, di sini kelmarin.

Menurutnya, penanaman vanila memberi pulangan pendapatan lumayan kepada koperasi atau pengusaha antara RM600,000 hingga RM1 juta semusim melibatkan kawasan tanaman seluas 1 hektar sahaja dengan harga antara RM1,200 hingga RM2,000 sekilogram.

Abdul Fattah, vanila adalah antara lapan jenis tanaman bernilai tinggi seperti musang king, halia dan lain-lain yang disaran oleh kerajaan kerana harganya menjanjikan pulangan lumayan kerana mendapat permintaan tinggi pengusaha makanan.

"Penubuhan koperasi itu nanti membolehkan para pengusaha berkongsi pengalaman, benih, baja, pasaran dan produk hiliran dalam perasa makanan seperti aiskrim, biskut dan lain-lain.

''Oleh itu, tanaman vanila berpotensi tinggi untuk diusahakan memandangkan masih kurang petani di negara ini mengusahakannya secara komersial," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!