'Syukur dah ada tempat berlindung'
Tuan Ramzi (tengah) bersama Mohd Nazri (tiga dari kanan) bersama Mohd Fadzli (dua dari kanan) ketika gimik penyerahan kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB 2019.
Tuan Ramzi bersama isteri serta tiga anaknya menerima bantuan pembinaan kediaman bernilai RM50,000 di bawah Projek Baiti Jannati TNB 2019.
A
A
A
Demikian kata penerima bantuan pembinaan rumah bernilai RM50,000 di bawah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2019.
Tuan Ramzi Tuan Ariffin, 44, dari Kampung Raja, Chendering di sini menerima bantuan pembinaan rumah yang didirikan di atas tanah ibunya.
Dia yang bekerja sebagai buruh dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan kini mampu tinggal selesa bersama isteri, Rohayu Mat Hussin, 40, serta tiga anak mereka.
Menurutnya, sebelum ini dia menyewa rumah di kampung itu selama 10 tahun dan tidak mampu membina rumah sendiri disebabkan peningkatan kos sara hidup dan bahan binaan.
"Kalau nak harapkan gaji saya sendiri memang saya tak mampu bina rumah sendiri.
"Mujurlah saya diberitahu oleh seorang rakan mengenai skim bantuan yang disediakan ini dan cuba hantar permohonan pada tahun 2017," katanya ketika ditemui Majlis Kesyukuran Penyerahan Projek Baiti Jannati TNB 2019 di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Datuk Mohd Fadzli Yusof.
Sementara itu, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh berkata, projek dengan usahasama YDSM bermula tahun ini memperuntukkan RM550,000 bagi membina baharu 11 rumah golongan asnaf terpilih di negeri ini.
"Secara dasarnya, penerima bantuan projek membaik pulih atau membina baharu atau membiayai pembelian rumah kediaman ini diiktiraf sebagai golongan yang layak menerima zakat (asnaf) oleh Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.
"Rumah yang hendak dibaiki atau dibina baharu itu pula sudah tentu yang sangat usang serta pemiliknya tidak mampu membaiki atau membina baharu," katanya.
Program tanggungjawab sosial korporat TNB, Projek Baiti Jannati TNB di negeri ini membaik pulih 60 buah rumah sejak 2008 melibatkan kos sebanyak RM2.4 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!