Melaka optimis capai sasaran 20 juta pelancong

Suasana pada majlis pelancaran pengiklanan menerusi POS Malaysia sempena Promosi Pelancongan Negeri Melaka 2019 di Melawati Mall baru-baru ini.
Suasana pada majlis pelancaran pengiklanan menerusi POS Malaysia sempena Promosi Pelancongan Negeri Melaka 2019 di Melawati Mall baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga bulan sebelum Tahun Melawat Melaka 2019 tamat, kerajaan Melaka optimis jumlah pelancong ke bandar raya bersejarah itu mampu mencecah 20 juta orang menjelang penghujung tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, statistik dari Januari hingga Jun tahun ini menunjukkan Melaka menerima kedatangan sembilan juta pelancong termasuk pelancong domestik sebagai penyumbang terbesar.

“Di bawah Inisiatif Tahun Melawat Melaka 2019, kami telah memperkenalkan pelbagai pakej pelancongan yang menarik untuk memenuhi permintaan pelancong asing dan tempatan.

“Kerajaan negeri juga merangka pelbagai program untuk menarik pelancong. Sehingga 30 Ogos 2019, sejumlah 130 program promosi dan acara pelancongan telah dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Pengiklanan Menerusi Pos Malaysia sempena Promosi Pelancongan Negeri Melaka di sebuah pasar raya di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Negeri Pos Malaysia (Melaka), Md Fadzil Kamaruddin, Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin.

Muhammad Jailani Khamis
Muhammad Jailani Khamis

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Pos Malaysia yang mengeluarkan 400,000 setem khas sempena kempen Visit Melaka 2019 dan dijual di seluruh pejabat pos dalam negara.

“Saya dimaklumkan sambutan penjualan setem tersebut amat menggalakkan dengan 81 peratus daripadanya terjual.

“Bukan itu saja, sebanyak tiga buah van dan 20 buah motosikal Pos Malaysia turut digunakan untuk mempromosikan pelancongan di Melaka. Ia bermula 1 Julai lepas dan berakhir hujung bulan ini,” katanya.

Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, sebagai sebuah negeri yang terkenal kerana industri pelancongan Melaka mempunyai lebih 800 buah produk pelancongan.

“Produk ini sedia menanti kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara. Kita patut berasa bangga dan bertuah kerana Malaysia dan Melaka khususnya dianugerahi pelbagai aset dan tarikan yang memenuhi citarasa pelancong,” katanya.