Tempoh moratorium bauksit lanjut tiga bulan lagi

Xavier Jayakumar
Xavier Jayakumar
A
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh moratorium aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang berakhir hari ini, dilanjutkan lagi sehingga 31 Mac, umum Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli hari ini.

Kementerian itu berkata, persetujuan dicapai antara Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa moratorium hanya ditarik balik selepas prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit dimuktamadkan.

"Moratorium itu juga perlu bagi memberi laluan terhadap pengosongan ‘stockpile’ bauksit dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata satu SOP baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit telahpun disediakan oleh satu 'task force' yang diwujudkan bersama melibatkan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menurut kementerian itu, berdasarkan laporan pemantauan yang diterima dan mesyuarat yang diadakan bersama agensi-agensi yang berkaitan pada 21 Disember lepas, didapati pengosongan stockpile dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman masih belum berlaku.

“Oleh itu, moratorium ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang perlu dilanjutkan bagi memberi laluan terhadap pengosongan stockpile bauksit,” katanya.

Kementerian itu berkata, stockpile bauksit dari Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman perlu dikosongkan sebelum prosedur baharu yang dirangka berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit dari Pahang dapat dilaksanakan.

Kementerian itu mengingatkan semua pihak yang terlibat bahawa perintah berhenti kerja yang dikeluarkan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 ketika permulaan pengenaan moratorium itu masih lagi berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana pihak tidak dibenarkan menjalankan apa-apa kerja perlombongan bauksit di Pahang sehinggalah perintah ini ditarik balik,” katanya. - Bernama