KPM tubuh jawatankuasa khas pendidikan orang asli: Maszlee

Maszlee Malik. - Foto Bernama
A
A

LIPIS - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneliti aspek pendidikan masyarakat orang asli dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada golongan tersebut.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, antara perkara yang akan diperhalusi oleh jawatankuasa itu ialah meningkatkan peratusan hadir murid masyarakat orang asli ke sekolah.

"Jawatankuasa ini juga akan memberi perhatian kepada isu pengangkutan dan infrastruktur yang dilihat berkemungkinan menyumbang kepada kadar keciciran murid orang asli dalam pendidikan.

"Kita akan melibatkan agensi berkaitan masyarakat orang asli dalam jawatankuasa ini supaya penyelesaian holistik dapat dicari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Pendidikan dan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.

Turut hadir ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid, Rektor IPG Dr Rosmini Ku Ahmad dan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Abdullah Yusof

Maszlee berkata, selain KPM antara agensi yang akan menyertai jawatankuasa itu ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), institusi pendidikan tinggi termasuk pihak universiti dan mereka yang terlibat dalam pembangunan pendidikan orang asli.

"Selain penubuhan jawatankuasa itu, KPM juga akan membuka peluang lebih luas kepada masyarakat Orang Asli untuk belajar di sekolah sukan atau sekolah seni selain dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Jumlah pelatih di IPG dalam kalangan orang asli juga akan ditambah. Setakat ini, 180 orang masih menuntut di IPG Kampus Tengku Afzan manakala 80 lepasan IPG sudah ditempatkan di sekolah Orang Asli seluruh negara," katanya.

Maszlee juga memaklumkan laluan khas kepada pelajar orang asli untuk ke universiti awam juga menunjukkan kesan positif apabila lebih ramai mereka berpeluang menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Pada majlis itu Maszlee juga mengumumkan peruntukan geran penyelidikan berjumlah RM1 juta kepada IPG Kampus Tengku Ampuan Azfan khusus bagi penyelidikan berkaitan pendidikan masyarakat orang asli.

Sementara itu mengulas mengenai laporan sebuah akhbar semalam yang menyatakan 38 program akademik di 19 universiti awam seluruh negara akan digugurkan, Maszlee berkata, langkah itu tidak menjejaskan pensyarah kerana mereka berpengetahuan luas dan tidak hanya bergantung kepada satu pengkhususan semata-mata.

"Langkah ini juga perkembangan baik dan adalah hasil libat urus antara KPM dengan pihak industri yang membantu kita membentuk kurikulum diperlukan pasaran kerja dan permintaan," katanya. - Bernama