Lebih 200 ahli berkumpul tunjuk solidariti kepada Paul Yong

Sebahagian ahli dan penyokong parti hadir memberi sokongan kepada Paul Yong di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Sebahagian ahli dan penyokong parti hadir memberi sokongan kepada Paul Yong di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - 'Bebaskan Paul Yong, Nga Kor Ming letak jawatan'. Itu antara tanda solidariti disuarakan lebih 200 ahli dan penyokong parti kepada Exco Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Kata-kata itu dilaungkan di pekarangan pintu masuk mahkamah ketika sesi sebutan semula kes berlangsung dan berlarutan hingga tamat prosiding.

Ia susulan kenyataan kecewa diberikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sebelum ini terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang didakwa lari daripada prinsip demokrasi diamalkan parti itu.

ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng mendakwa Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang membelakangi Jawatankuasa DAP Perak mengenai kedudukan Paul Yong selaku Exco Kerajaan Perak.

Sehubungan itu, timbul desakan agar Ahli Parlimen Teluk Intan itu melepaskan jawatan dalam parti.

Kesemua mereka berada di pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi dengan berpakaian kemeja serta kemeja-T berwarna putih.

Paul Yong pula tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan berpakaian sut biru diiringi barisan peguam dan beberapa wakil rakyat DAP.

Barisan anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri antaranya, Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin dan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim turut hadir memberikan sokongan. Bagaimanapun, Kor Ming tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Koo Ham dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan kumpulan berkenaan tidak ada kena mengena dengan pendirian Choo Kiong terhadap kepimpinan DAP negeri.

Katanya, kehadiran kumpulan itu ke mahkamah secara beramai-ramai sambil menggesa peletakan jawatan Pengerusi DAP negeri tidak lebih sebagai cubaan menimbulkan kekeliruan dan membuat tanggapan bahawa terdapat pergeseran antara dua pemimpin parti itu.

"Ini jauh daripada kebenaran kerana Paul sendiri telah memaklumkan kepada saya bahawa kumpulan ini tidak ada kena mengena dengannya.

"Semua wakil DAP Perak akan memberikan sokongan penuh kepada beliau dalam kes ini," katanya.