Nizar boleh tanding semula pemilihan Amanah

Nizar
Nizar
A
A
A

IPOH - Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berpeluang untuk berada dalam Jawatankuasa Amanah Kawasan Gopeng apabila kawasan itu antara 12 kawasan Amanah yang dibatalkan pemilihannya.

Setiausaha Amanah Perak, Salman Salleh berkata, sekurang-kurangnya 12 kawasan Amanah di Perak perlu mengadakan semula mesyuarat agung tahunan mereka.

Menurutnya, mesyuarat agung tahunan bagi Pemuda Amanah negeri dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Perak juga turut terbatal dan perlu diadakan semula seperti diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“RoS telah beri garis panduan dan kita akan buat seperti yang diminta supaya semua masalah dapat diselesaikan sebelum Konvensyen Nasional," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media sebelum ini menyatakan sebanyak 81 kawasan termasuk sayap Pemuda dan Wanita yang dibatalkan keputusan mesyuarat oleh ROS.

Menurutnya, terdapat 53 cawangan Amanah juga terpaksa mengadakan semula mesyuarat akibat pembatalan sebelum ini.

Sementara itu, Salman berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan Konvensyen Amanah Perak yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Oktober depan bagi memberi laluan kepada pemilihan semula.

“Konvensyen ini dijangka diadakan pada November. Tarikh sebenar akan dibincangkan bersama Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi,” katanya.

Sebelum ini, Mohammad Nizar gagal mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Amanah Kawasan Gopeng pada Mesyuarat Tahunan Kawasan Gopeng yang berlangsung pada 24 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Nizar gagal pertahan jawatan AJK Amanah Gopeng