Prosiding komital tidak ganggu keputusan inkues Adib

Mohamed Haniff (tengah) ditemui pemberita selepas prosiding komital di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Mohamed Haniff (tengah) ditemui pemberita selepas prosiding komital di Mahkamah Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Prosiding kes permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak akan mengganggu keputusan inkues kematian anggota bomba itu.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, dua kes berkenaan adalah dua perkara berbeza.

Haniff yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, keputusan oleh koroner akan memberi faktor kematian Muhammad Adib manakala komital berkaitan perkara yang tercetus selepas Tommy mengeluarkan kenyataan bahawa anggota bomba itu tidak dipukul.

Menurutnya, walaupun wujud beberapa prosiding lain termasuk notis rayuan yang difailkan pihak Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu, prosiding komital tetap akan diteruskan.

“Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Oktober ini untuk pengurusan kes itu,” katanya pada sidang media selepas prosiding di sini hari ini.

Sebelum ini, dalam prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara berkata, pihaknya memfailkan notis rayuan terhadap keputusan membenarkan prosiding komital dimulakan.

Katanya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan notis rayuan yang difailkan sebagai rayuan sivil ditukar kepada rayuan jenayah.

Rofiah menetapkan 7 Oktober depan sebagai pengurusan kes komital terhadap Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Adib dapat kebenaran 'heret' Tommy ke mahkamah