Saiful persoal tajaan program Anwar di PD

Paparan skrin kenyataan Mohd Saiful di laman sosial Facebook, miliknya.
Paparan skrin kenyataan Mohd Saiful di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Calon PRK Port Dickson, Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini mempersoalkan jumlah penajaan program membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkempen di PRK berkenaan, Oktober lalu.

Mohd Saiful dalam perkongsian di Facebooknya bertanya, adakah sumbangan yang diberikan oleh sebuah syarikat dalam menaja program Anwar semasa PRK Parlimen Port Dickson diisytihar dalam laporan kewangan calon pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Berapakah jumlah yang syarikat berkenaan sumbang untuk kempen DSAI di PD? Beliau (pemilik syarikat) mendakwa di Instagram sponsor (taja) lima program DSAI.

“Adakah sumbangan lima program itu diisytihar dalam laporan kewangan calon pada SPR? Perlu ingat, jumlah yang dibenarkan untuk seorang calon berkempen tidak melebihi RM200,000.

“Dan adalah menjadi satu kesalahan jika tidak isytihar pada SPR dan berbelanja melebihi had yang dibenarkan,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia bertanya perkara itu hanya atas kapasiti sebagai salah seorang calon dalam PRK Parlimen Port Dickson.

“Saya tak berminat untuk ikut serta membuat spekulasi Anwar- Adrielle (pemilik syarikat) mengenai isu peribadi mereka. Cuma saya nak bertanya atas kapasiti saya sebagai salah seorang calon PRK Parlimen Port Dickson,” katanya.

Mohd Saiful, yang kini berumur 33 tahun merupakan bekas pembantu peribadi Anwar yang pernah dikaitkan dalam kes liwat 2.0 sehingga membawa Anwar ke penjara buat kali kedua.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pusat pada PRU14, Anwar pada 16 Mei lalu dibebaskan melalui pengampunan diraja.

Beliau menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berhubung kes liwat.

Selain Anwar dan Mohd Saiful Bukhari, lima lagi calon mencuba nasib pada PRK ini iaitu calon Pas Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad.