Pelajar kolej disamun 'pemandu pelancong'

Kotak hijau, sepasang kasut dan alat elektrik yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun pada 2 September lalu.
Kotak hijau, sepasang kasut dan alat elektrik yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun pada 2 September lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pelajar kolej bersama dua rakannya disamun seorang lelaki yang menyamar sebagai pemandu pelancong ketika berada di belakang Gereja St Anne di sini pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun sedang bersembahyang di gereja tersebut bersama dua rakannya.

Menurutnya, kemudian datang seorang lelaki lalu menyapa dan mengekori mangsa sehingga ke kawasan bukit yang terletak di belakang gereja tersebut.

"Suspek yang mempunyai loghat percakapan dipercayai warga asing itu menyapa mangsa dengan berkata 'boleh naik atas lagi'. Dia kemudiannya mengekori mangsa dan rakan-rakannya sehingga ke kawasan bukit. Tiba-tiba suspek menyembur sesuatu ke mata salah seorang rakan mangsa dan cuba meletakkan alat renjatan elektrik.

"Suspek turut menyerang seorang lagi rakan mangsa dengan memegang lehernya selain cuba meletakkan alat renjatan elektrik. Salah seorang daripada mereka telah memukul suspek dengan payung. Mangsa yang panik cuba melarikan diri dengan menuruni cerun bukit namun terjatuh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beg dan topi keledar antara barang yang dirampas daripada suspek.
Beg dan topi keledar antara barang yang dirampas daripada suspek.

Beliau berkata, ketika mangsa terjatuh, barangnya turut bertaburan menyebabkan suspek sempat mengambil kesemua barang tersebut sebelum melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah mengambil sebuah telefon bimbit jenama Iphone 7 Plus, kad pengenalan, lesen memandu, beberapa keping kad kredit dan kad bank selain wang tunai bernilai RM500. Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2,500.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian lutut dan lengan akibat terjatuh sendiri manakala dua rakannya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan daripada kejadian itu, polis berjaya menahan suspek di Kampung Sungai Limau, Lunas Kedah pada jam 4.30 pagi semalam.

"Suspek berusia 32 tahun mempunyai tujuh rekod lampau iaitu empat kes jenayah dan tiga melibatkan dadah. Kita turut merampas topi keledar, dua walkie talkie, sebuah alat renjatan elektrik, sebuah kotak dan sebuah motosikal jenama Yahama Ego.

"Soal siasat awal mendapati, suspek mengaku melakukan samun terhadap mangsa dan dua rakannya dengan menyamar sebagai pemandu pelancong untuk memperdayakan mangsa. Dia turut mengaku menggunakan alat renjatan elektrik untuk menakutkan mangsa," katanya.

Katanya, polis akan memohon reman ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun dan mencederakan.