PRK Tanjung Piai ujian besar PH

Siew Fook bersama Guan Eng dan Aminuddin serta pemimpin komponen PH negeri pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan hari ini.
Siew Fook bersama Guan Eng dan Aminuddin serta pemimpin komponen PH negeri pada Konvensyen DAP Negeri Sembilan hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menjadi ujian besar buat Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PH akan berusaha mempertahankan kerusi tersebut bagi memastikan Tanjung Piai di bawah pimpinan kerajaan.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia semalam, Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, semua jentera PH baik di peringkat Pusat mahupun negeri perlu bekerja keras untuk menghadapi PRK itu.

"Kita akan menghadapi PRK Tanjung Piai dan ia menjadi satu ujian besar kepada kita dalam PH.

"Bagi mengenang jasa, budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti menggembleng tenaga dan menggerakkan jentera kita untuk memastikan kerusi Tanjung Piai dapat dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban dekat sini hari ini.

Konvensyen tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan pemimpin komponen PH negeri.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir turut bertafakur selama seminit sebelum sesi konvensyen itu bermula bagi memperingati Allahyarham Dr Md Farid.

Artikel Berkaitan:

Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan pemergian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan kehilangan besar buat negara dan PH.

Dr Md Farid, 42, yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai meninggal dunia pada jam 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham yang bertanding atas tiket PKR menang dengan undi 21,255 selepas mengalahkan calon dari Barisan Nasional (BN) dan Pas.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Menteri di JPM meninggal dunia

Dr Md Farid meninggal dunia kerana komplikasi jantung