18 warga asing ditahan salah guna pas lawatan

Sebahagian warganegara asing yang ditahan menyalahguna pas lawatan dalam Op Bersepadu sekitar Langkawi.
Sebahagian warganegara asing yang ditahan menyalahguna pas lawatan dalam Op Bersepadu sekitar Langkawi.
A
A
A

LANGKAWI - Jabatan Imigresen Kedah menahan 18 pendatang asing tanpa izin pelbagai warganegara dalam Op Bersepadu di beberapa lokasi berasingan sekitar Langkawi Jumaat lalu.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 121 pendatang asing di premis perniagaan di Pantai Chenang dan Pulau Rebak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lima lelaki Bangladesh, empat lelaki warga Nepal, tiga lelaki Pakistan, tiga lelaki Myanmar dan masing-masing seorang dari Filipina, Jepun dan Perancis ditahan.

“Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 55 tahun, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta Seksyen 15(1) akta sama kerana tinggal melebihi masa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mereka turut melakukan kesalahan bawah Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Zuhair berkata, kesemua tahanan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik.

Artikel Berkaitan: