'DAP takut bayang-bayang sendiri'

Najmil
Najmil
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO menyifatkan usaha DAP ke arah penubuhan jawatankuasa khas bagi memerangi berita palsu didakwa ciptaan Pas dan UMNO sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri.

Exconya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, bagi UMNO menjadi tanggungjawab pembangkang untuk mengkritik setiap dasar dan tindakan kerajaan berdasarkan fakta serta hujah kukuh bagi menyedarkan rakyat tentang kegagalan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, UMNO bersama parti komponen lain semakin matang dalam menjadi ejen semak dan imbang terhadap segala tindakan kerajaan yang semakin hari semakin merosakkan negara sejak parti itu menjadi pembangkang.

“Kit Siang perlu ingat bahawa DAP serta parti lain dalam PH adalah penyumbang terbesar kepada penyebaran fitnah sehingga menyebabkan rakyat menjadi mangsa terhadap fitnah dan janji palsu.

“Menurut Kit Siang, pembangkang tidak berminat dengan nasib orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban atau pelbagai agama serta budaya.

“Ini juga merupakan satu fitnah kerana sepanjang mentadbir negara, BN (Barisan Nasional) tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, malah kekayaan negara dikongsi bersama hingga berjaya merapatkan jurang pendapatan melalui dasar awam yang strategik,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan di laman blognya berkata, DAP akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mempromosikan celik media sosial dan memerangi berita palsu serta elemen kebencian yang akan diketuai oleh Ketua Pemuda Sosialis parti itu.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan berikutan perang persepsi yang didakwa dilancarkan oleh gabungan UMNO, Pas bertujuan mewujudkan suasana bimbang, takut dan benci dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam bahawa hak serta kepentingan mereka digugat oleh DAP yang mendominasi kerajaan PH.

Artikel Berkaitan: