'Hanya hantu takut pada bayang-bayang sendiri'

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani
A
A
A

MELAKA - "Hanya hantu takut pada bayang-bayangnya sendiri". Itu reaksi ringkas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kepada Sinar Harian apabila ditanya berhubung dakwaan dirinya disebut sebagai ADUN BN yang bakal menyertai Pas.

Malah bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan itu terus berteka teki apabila diminta menjelaskan maksud tersebut.

Muhammad Jailani juga tidak menafikan dan mengiyakan dakwaan itu sekali gus menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan beliau merupakan ADUN BN yang bakal 'disantuni' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam waktu terdekat berikutan dakwaan akan beralih kepada Pas.

Media pada Sabtu lalu, menyiarkan seorang ADUN BN bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas beliau satu-satunya dilihat hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bistari.

Sebelum ini ADUN Rembia itu mendakwa beliau mengetahui punca sebenar Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali melepaskan jawatan Ketua Menteri.

Dakwa beliau ia kerana 'paksaan' dan bukan sebab lain termasuk masalah kesihatan dan bagi melancarkan pentadbiran.

Pada PRU14, Jailani bertanding di kerusi DUN Rembia atas tiket PH mewakili PKR, namun pada 2021, Muhammad Jailani kembali menyertai UMNO selepas meninggalkan parti itu pada 2016.

Beliau bersama beberapa ADUN PH ketika itu, kemudiannya membuat keputusan menyertai gabungan PN Melaka sekali gus menyebabkan kerajaan PH Melaka tumbang.

Muhammad Jailani kemudiannya menjadi ADUN Bebas selepas dilucutkan keahlian dalam PKR.