Penduduk tinggal dalam khemah sehingga Isnin

Keadaan runtuhan rumah penduduk yang terletak bersebelahan Sungai Kedondong. Gambar kecil: AZROY
Keadaan runtuhan rumah penduduk yang terletak bersebelahan Sungai Kedondong. Gambar kecil: AZROY
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras menjelaskan bahawa penduduk yang terlibat dengan perobohan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras akan menetap di khemah terbuka sehingga Isnin depan.

Pengerusinya, Azroy Abdul Manaf berkata, kini pihaknya dalam proses untuk membuat bancian bagi mengenal pasti penduduk yang belum mendapat rumah sewa susulan daripada operasi perobohan itu.

Menurutnya, penduduk yang telah berjaya mendapat rumah sewa disaran berpindah segera daripada khemah berkenaan yang menjadi penempatan sementara sebelum ini.

"Saya sendiri menasihatkan penduduk terlibat untuk menetap di khemah berkenaan sehingga Isnin ini sahaja demi keselesaan mereka," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Rabu lalu, satu operasi perobohan dilakukan oleh Kerajaan Selangor ke atas premis dan kediaman yang dibina berhampiran Sungai Kedondong bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir di kawasan ini.

Berikutan itu, penduduk terlibat bersepakat untuk menetap di khemah terbuka yang didirikan sendiri oleh mereka berhampiran kawasan berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap tindakan itu yang dianggap tidak mengikut prosedur sewajarnya.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman memaklumkan operasi itu dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Katanya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azroy berkata, pihaknya turut menggunakan wang sumbangan yang diberikan oleh orang ramai bagi menambah bayaran deposit rumah sewa penduduk terlibat.

"Kita ada dapat sedikit sumbangan dan wang itu kita guna untuk tambah bagi bayaran deposit sewa rumah kepada penduduk terlibat.

"Bagi penduduk yang belum mendapat rumah sewa, kita akan bantu carikan atau membina rumah sementara di dalam kampung ini juga dengan skala yang kecil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Rumah dirobohkan mengikut prosedur, kata ADUN Paya Jaras

'Rumah diroboh, kami terpaksa tinggal dalam khemah'