Pejabat KM Pulau Pinang nafi gambar tular

Gambar dan kenyataan membabitkan Kon Yeow dan Kerajaan Pulau Pinang yang didakwa palsu telah tular di media sosial sejak semalam.
Gambar dan kenyataan membabitkan Kon Yeow dan Kerajaan Pulau Pinang yang didakwa palsu telah tular di media sosial sejak semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan penularan sekeping gambar yang mengandungi maklumat palsu mengenai pemberian MyKad kepada warga asing membabitkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Pulau Pinang, Yap Lee Ying berkata, gambar yang mengaitkan Kon Yeow dan kerajaan negeri itu disebarkan melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Menurutnya, kenyataan dalam gambar tersebut kononnya Kon Yeow dan kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada bukan warganegara adalah tidak benar sama sekali.

"Saya mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan gambar berserta kenyataan tersebut kerana ia adalah palsu. Kenyataan kononnya Kon Yeow dan kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam mengurniakan MyKad kepada bukan warganegara selain meminta orang luar tidak mencampuri urusan kerajaan negeri sama sekali tidak benar.

"Saya tegaskan di sini Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan kewarganegaraan adalah di bawah Senarai Persekutuan, bukan Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lee Ying berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan untuk memburuk-burukkan imej serta nama baik Kon Yeow dan Kerajaan Pulau Pinang.

"Kon Yeow telah mengarahkan setiausaha politiknya, Teh Lai Heng membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut petang ini bagi mengenalpasti dalang penyebaran fitnah tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular sekeping gambar di media sosial yang mengandungi wajah Kon Yeow dan MyKad berserta kenyataan 'mengurniakan MyKad kepada warganegara China dan Hong Kong adalah hak mutlak Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak zaman Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri. Orang luar jangan masuk campur urusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang'.