Jerebu di Sri Aman semakin baik, IPU turun mendadak

Gambar fail - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman mencatatkan penurunan dengan drastik daripada kategori bahaya dengan bacaan 404 pada jam 8 malam semalam kepada tidak sihat iaitu 113 setakat jam 2 petang ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehingga hari ini beberapa pendekatan telah diambil antaranya Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang telah bermula semalam sehingga esok.

“Hari ini kami berharap dapat memadamkan semua titik panas yang berada di Sri Aman. Jika ia dapat dipadamkan, punca-punca asap juga dapat dikurangkan.

“Tadi juga telah dijalankan operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kampung STC di sini dengan menggunakan khidmat helikopter MI-171 milik Bomba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga dalam perjalanan ke kawasan berkenaan untuk melakukan water bombing.

Dua hari lalu, pesawat berkenaan sudah tiba di Kampung STC namun tidak dapat melakukan operasi pemadaman berikutan mengalami beberapa masalah teknikal serta sumber air dari sungai berdekatan juga tidak dapat digunakan.

Beliau berharap kerjasama daripada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka kerana ia adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

“Selain itu, kami memohon bantuan kepada sesiapa yang melihat asap, khususnya di kawasan tanah gambut untuk menghubungi pihak Bomba dengan secepat mungkin supaya api dapat dikawal dan dipadamkan dengan lebih awal dan ia tidak merebak,” tambahnya.

Ini adalah pertama kali Sri Aman berhadapan keadaan jerebu dan IPU melebihi 400. - Bernama