Pesanan terakhir Dr Md Farid

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik dikatakan sempat memberikan pesanan terakhir kepada masyarakat setempat di Tanjung Piai, di sini, dalam satu acara di Pontian Jaya malam tadi.

Bapa saudaranya, Daud Sanusi, yang sama-sama berada ketika majlis itu menyifatkan ucapan Allahyarham malam tadi sedikit luar biasa berbanding majlis-majlis sebelum ini.

"Dalam ucapannya, beliau berpesan supaya masyarakat Tanjung Piai bersatu padu, jangan bercakaran sesama sendiri.

"Kita hendakkan negara kita makmur dan dia juga ada meminta maaf sekiranya belum sempat berkunjung ke kawasan di bawah Parlimennya akibat kekangan tugas," kata bapa saudaranya yang berumur 62 tahun itu.

Beliau ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik, Hospital Pontian di sini.

Allahyarham, 42, meninggal dunia di hospital berkenaan kira-kira pukul 6 pagi tadi, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sementara itu, adik kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) itu, Nor Hisham Md Rafik berkata, dia mendapat tahu mengenai berita itu sejam selepas kali terakhir berjumpa Allahyarham.

"Saya dapat berita pada pukul 6 pagi, jadi saya terus ke hospital tapi tak sempat jumpa arwah.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir kami jumpa pukul 5 pagi tadi. Allahyarham ada menyatakan hasrat untuk bercuti ke Tasik Banding," kata anak keempat dari tujuh adik-beradik itu.

Allahyarham yang merupakan anak sulung itu, masih menjalankan khidmatnya sebagai wakil rakyat berjumpa kumpulan masyarakat setelah sampai ke rumah ibunya di Serkat kira-kira pukul 2 pagi tadi, selepas selesai majlis di Pontian Jaya. - Bernama