Mara sedia Skim Budi untuk pelajar B40 di MRSM

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan Skim Budi untuk pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, menerusi skim itu, pelajar B40 yang melanjutkan pelajaran di MRSM berpeluang menikmati antaranya pengecualian bayaran awal, elaun bulanan serta bantuan kit persekolahan.

"Pihak MRSM memainkan peranan penting bagi menentukan pelajar-pelajar daripada golongan B40 yang layak dan Mara memperuntukkan RM2,850 untuk seorang pelajar membabitkan 2,200 penerima setiap tahun," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Rina menyerahkan surat tawaran kemasukan ke MRSM Transkrian kepada pelajar cemerlang Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri, 12, di rumahnya di Taman Gunung Puteri, Sungai Bakap di sini.

Rina juga berkata buat pertama kalinya tawaran kemasukan ke MRSM diumumkan lebih awal bagi membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

"Menerusi cara ini juga ada waktu untuk kami memberikan bantuan pelajar-pelajar golongan B40 supaya mereka dapat meneruskan pelajaran di MRSM," katanya.

Beliau berkata ketika ini kuota kemasukan MRSM bagi pelajar daripada keluarga B40 hampir dicapai dengan 68 peratus pelajar kumpulan itu menerima surat tawaran bagi sesi persekolahan 2019 yang akan bermula 14 Jan depan.

Sementara itu, Rina menafikan dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan pelajar daripada golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20) untuk mendapatkan pendidikan di MRSM.

Artikel Berkaitan:

"Bukan kita tolak semua kemasukan (pelajar daripada golongan M40 dan T20), mereka juga diberikan peluang cuma kali ini kita kembalikan MRSM ke matlamat asalnya. Bagi pelajar golongan M40 kuota kemasukan kepada mereka diberikan 20 peratus manakala T20 pula 10 peratus," katanya. - Bernama