X

Kindly register in order to view this article
!

30 GRO warga asing ditahan di Langkawi

Semua tahanan ditahan di lokap, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut. - Foto Imigresen Kedah
A
A

LANGKAWI - Jabatan Imigresen Malaysia Kedah menahan 30 pelayan pelanggan (GRO) warga asing kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di dua buah pusat hiburan, sekitar Langkawi, Khamis lalu.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, warga asing tersebut terdiri daripada 29 wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos.

Pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki warga Thailand dalam operasi bermula sekitar jam 9 malam dan berakhir jam 10.30 malam yang melibatkan pemeriksaan terhadap seramai 67 orang pelbagai warganegara.

"Semua mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 sehingga 48 tahun dan dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan tersebut.

"Pusat hiburan tersebut turut dipantau melalui televisyen litar tertutup (CCTV)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, seramai 13 anggota pegawai imigresen daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kedah terlibat dalam operasi penguatkuasaan ini.

"Siasatan awal mendapati bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

"Mereka ditahan di lokap, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah," katanya.