Suspek ketiga kes tembak-menembak di Miri ditahan

No Image Caption
A
A
A

MIRI - Polis menahan suspek ketiga kes tembak-menembak dengan anggota polis di sini pada Mei lepas dalam satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Pujut Corner pada jam 5.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bersama seorang wanita tempatan berusia 22 tahun sekali gus berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan bersenjata api yang berlaku pada 16 Mei lepas.

“Dengan tangkapan ini, bermakna ketiga-tiga suspek yang terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjata api serta menembak anggota polis telah ditangkap kesemuanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, dua suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun dan 35 tahun telah ditahan pada hari kejadian di Taman Jelita di sini di mana salah seorang cedera kedua-dua belah kaki dan kini ditahan reman sementara menunggu hari perbicaraan.

Dalam kejadian tembak-menembak dengan polis itu, seorang anggota polis Koperal William Bell Jol, 55 dari Unit Peronda Kereta (MPV) Miri cedera pada lengan kiri.

Sejurus selepas kejadian tersebut, dua pistol dipercayai digunakan oleh kumpulan tersebut berjaya ditemui dengan yang pertama dirampas pada hari kejadian manakala pistol yang kedua ditemukan dalam saluran paip tepi parit.

Meng Seah berkata, selain penahanan dua individu tersebut, polis turut merampas dadah syabu dengan berat anggaran kasar 531.02 gram yang ditemui ketika tangkapan dilakukan.

Menurutnya, senjata tajam turut dirampas iaitu sebilah pedang samurai berukuran berukuran 88cm termasuk sarung dan sebilah pisau berukuran 40cm termasuk sarung.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek disiasat di bawah seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958, Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tambahnya lagi, suspek turut disiasat di bawah seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1953. - Bernama