Jerebu: PKR sokong gubal undang-undang baharu

Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman - Lingga yang dirakam pada 7 pagi ini.- Foto Bernama
Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman - Lingga yang dirakam pada 7 pagi ini.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong penggubalan undang-undang terhadap syarikat yang terlibat dengan aktiviti pembakaran terbuka sehingga menyumbang kepada fenomena jerebu.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, jerebu yang berlaku menjejaskan sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan warga tempatan.

Menurut beliau, pihaknya menyokong tindakan kerajaan agar mengenakan tindakan tegas terhadap pesalah.

“Jerebu di negara ini perlu dianggap sebagai satu bentuk perang ekologi yang perlu ditangani segera.

“Kami amat prihatin dengan keadaan yang melanda beberapa kawasan dalam negara termasuk di pantai barat Semenanjung Malaysia serta Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh keanggotaan baharu, Ahmad Fahmi berkata, sehingga pertengahan bulan ini, PKR mencatat pendaftaran keanggotaan yang membanggakan dengan kemasukan 17,000 ahli baharu yang mana 11,000 daripadanya merupakan keahlian dari Sabah.

Beliau berkata, bagi meraikan kejayaan itu selain menyambut perayaan rakan-rakan kaum India, buat julung kali pihaknya akan mengadakan program rasmi rumah terbuka Deepavali di Banting, Selangor pada 2 November ini.

Artikel Berkaitan: