Pengurusan kes saman LHDN terhadap anak Najib 24 Oktober ini

Mohd Nazifuddin
Mohd Nazifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Oktober untuk pengurusan kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datuk Mohd Nazifuddin yang menuntut anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membayar cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Normaizan Rahim hari ini yang turut dihadiri peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee bertindak bagi pihak Mohd Nazifuddin.

"Pengurusan kes pada 24 Oktober ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim," kata Al-Hummidallah.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Mohd Nazifuddin, 36, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, kerajaan Malaysia mendakwa Mohd Nazifuddin masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 sehingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Dakwa kerajaan Malaysia, oleh kerana Mohd Nazifuddin gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM37,644,810.73.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM37,644,810.73, faedah atas jumlah RM37,644,810.73 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 25 Jun lepas, kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Selepas Najib dan Mohd Nazifuddin disaman LHDN, anak perempuannya Nooryana Najwa, 31, pula diarah membayar cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017. - Bernama