'MB Perak bukan boneka'

SAIFULLAH AHMAD

Zainol Fadzi ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Zainol Fadzi ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
A
A
A

IPOH - Semua pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) di Perak tidak seharusnya mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk akur dengan keputusan parti masing-masing dalam sebarang pelantikan dalam kerajaan.

Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, semua keputusan yang dibuat Ahmad Faizal mengambil kira pandangan semua pihak sama ada ketua parti, jentera pentadbiran termasuk exco kerajaan negeri.

Menurutnya, dalam hal lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), setiap parti diberikan peluang untuk mengemukakan calon, namun sebarang keputusan perlu dibincangkan secara kolektif di dalam mesyuarat exco.

"Setiap parti komponen di dalam PH perlu memberikan kepercayaan kepada MB untuk membuat keputusan dan sebarang keputusan yang telah dimuktamadkan perlu dihormati kerana pertimbangan dibuat atas dasar kepentingan rakyat, bukan kepentingan mana-mana parti.

"MB tak perlu tunduk dengan mana-mana pihak atau desakan tertentu. Beliau tak boleh dilihat seperti boneka mana-mana parti dan amat mendukacitakan seolah-olah ada rakan-rakan komponen yang mengganggu pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempersoalkan tindakan Ahmad Faizal yang masih belum melantik beberapa Ahli Majlis PBT daripada PKR.

Zainol Fadzi berkata, setiap masa terdapat cubaan untuk mengganggu pentadbiran kerajaan Perak yang dibuat oleh pemimpin komponen PH.

Katanya, sebarang ketidakpuasan hati harus disuarakan di dalam saluran yang betul.

Artikel Berkaitan:

"Jika diikutkan tak puas hati, saya pun nak mengamuk. Saya dan YB Nolee (Ashilin Mohammed Radzi) yang berkorban bantu bentuk kerajaan PH ini. Dalam lantikan Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan, tiada seorang pun wakil daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik. Tapi kita akur dengan keputusan itu kerana kita tahu ia dibuat demi kepentingan rakyat.

"Janganlah sebab baru dilantik pengerusi parti dah nak arahkan MB. Di mana kamu sebelum ini ketika PRU? Apa pengorbanan sebelum ini berbanding pengorbanan yang saya buat? Jadi janganlah buat tindakan yang merugikan kerajaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi turut menasihatkan mana-mana parti yang mempunyai masalah supaya menyelesaikannya sendiri tanpa mengheret Ahmad Faizal ke dalam masalah mereka.

Menurutnya, pemimpin tertinggi parti perlu bertindak matang dan bukan seperti kebudak-budakan menggunakan media sosial untuk mengkritik Ahmad Faizal.

Beliau berkata, rakyat sedang melihat dan menilai pentadbiran kerajaan sama ada keputusan dibuat itu untuk mereka atau sebaliknya.