Kedudukan Islam bumiputera

A
A

ALHAMDULILLAH Thumma Alhamdulillah. Akhirnya pada 14 September lalu, Piagam Muafakat Nasional berjaya ditandatangani pada majlis yang penuh dengan emosi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur menandakan bahawa hasrat itu adalah cita-cita dan matlamat yang sekian lama dinanti-nantikan.

Ia satu kehendak berakar umbi di setiap lapisan nurani rakyat Malaysia yang tidak lagi mahu melihat pertelagahan dan pertelingkahan yang selama ini berlaku untuk terus kekal berlaku.

Sebaliknya pemuafakatan itu dilihat sebagai satu sinar baharu yang menjalinkan hati-hati kita dalam mengukuhkan ukhuwah dan persaudaraan sesama Muslim serta rakyat Malaysia berbilang kaum secara keseluruhannya.

Sememangnya Piagam Muafakat Nasional bukan perkara baharu buat kita semua kerana pemuafakatan itu bukanlah untuk melahirkan satu gagasan baharu tetapi bagi melestarikan perlembagaan sedia ada demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara tercinta.

Berdasarkan piagam tersebut, UMNO dan Pas secara sepenuhnya telah bersetuju untuk bermuafakat dengan tujuan mencapai penyatuan ummah demi kesejahteraan Malaysia yang berbilang bangsa.

Penyatuan ummah menjadi teras kesejahteraan negara terutama apabila golongan majoriti dapat diharmonikan untuk bersama-sama menjaga dan membela hak masing-masing dengan tidak sesekali mengganggu-gugat hak kaum-kaum minoriti yang lain.

Piagam itu tidak sesekali berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan sedia ada di mana ia mengingatkan kembali ummah mengenai segala kewajipan sebagai rakyat Malaysia.

Perkara pertama piagam itu mengukuhkan kesanggupan untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan.

Meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu, menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta memastikan kemakmuran masyarakat majmuk secara keseluruhannya.

Musyawarah

Perkara kedua Piagam Muafakat Nasional pula meletakkan tentang kaedah bagaimana ia akan diperkukuhkan.

Amalan kaedah musyawarah secara inklusif melibatkan semua latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara secara bersama merupakan kerangka kerja demi mencapai matlamat piagam itu.

Perkara kedua adalah kaedah praktikal dengan tidak meminggirkan mana-mana agama dan bangsa sungguhpun ia dimomokkan dengan gelaran gabungan Malay Supremacy.

Perkara ketiga berkaitan agenda Islam, Melayu dan bumiputera. Perkara itu merupakan hak istimewa yang dipersetujui sekian lama dan termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Memperjuangkannya adalah kewajipan semua rakyat di Malaysia di mana ia adalah rahsia dan pemangkin kepada keamanan dan kemakmuran Malaysia.

Perkara keempat ialah berkenaan pembentukan kerjasama dalam memperkembangkan naratif Islam dan bangsa Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya. Ia paksi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Asas ta’asyus yang diwacanakan sebelum itu adalah gambaran sebenar bagaimana indahnya Islam dalam menjaga keharmonian hidup secara bersama.

Perkara terakhir dalam piagam itu adalah untuk bersama-sama berusaha mewujudkan satu tawaran secara kolektif dan inklusif bagi meningkatkan tadbir urus yang baik, pembangunan yang inklusif, pengagihan yang sejahtera dan keadilan sosial tanpa mengenal warna kulit dan agama.

Ini adalah terjemahan kepada keempat-empat perkara dalam piagam itu yang berbentuk ‘hasil’ kepada kesepakatan dan penyatuan ummah yang dipelopori oleh UMNO dan Pas.

Daripada kelima-lima piagam di atas, benar ia perkara-perkara yang telah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia bukan perkara baharu dan perjuangan yang mustahil untuk dicapai tetapi ia adalah kelestarian kepada keamanan dan keharmonian hidup kita sebagai rakyat Malaysia yang akhir-akhir ini kelihatan cuba diganggu gugat.

Oleh itu, ayuh bersama-sama tidak kira siapa anda untuk bersama menyokong penyatuan tersebut dan berdoa agar ia bakal mencapai kejayaan serta menjadi satu realiti. Insya-ALLAH.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.