Belum ada laporan penyakit akibat jerebu

Amirudin (tengah) bersama penerima Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor Dan Sistem E-Locator 2019 di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini. Foto Bernama
Amirudin (tengah) bersama penerima Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah, Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor Dan Sistem E-Locator 2019 di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sebarang laporan berhubung penyakit akibat jerebu yang diterima Kerajaan Negeri Selangor setakat ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun pemantauan dari semasa ke semasa tetap dijalankan.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan maklum balas awal daripada pihak berkaitan bagi mengesan jika ada penyakit berkaitan gejala itu dalam kalangan masyarakat.

"Setakat ini tiada lagi laporan penyakit berpunca daripada jerebu yang kita terima.

"Bagi pihak Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri) juga mengambil maklum perkara itu dan memantau perkembangan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah Pelancaran Dana Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor dan Sistem E-Locator di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Amirudin turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil pelbagai langkah bagi menjaga kesihatan termasuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, serta memakai penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa berada di luar rumah dalam tempoh panjang.

"Saya sendiri telah mengeluarkan amaran sejak tiga minggu lalu supaya semua pihak mengambil langkah yang perlu dalam menjaga kesihatan masing-masing sepanjang berlakunya masalah jerebu ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang ada simptom seperti batuk dan sebagainya diharap segera rujuk ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan sebanyak 648 sekolah kerajaan dan swasta terpaksa ditutup susulan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 hari ini.

Kementerian itu melalui satu kenyataan berkata, sekolah terbabit ialah Sarawak, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan melibatkan 452,681 pelajar.

Sementara itu, bacaan IPU di Selangor yang direkodkan Jabatan Alam Sekitar setakat jam 2 petang hari ini menunjukkan Johan Setia mencatatkan IPU tertinggi iaitu 236 diikuti Klang (196), Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).