Krisis air: Melaka perlu telus maklum situasi sebenar

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri perlu telus memaklumkan situasi sebenar berkaitan krisis air dan sebarang pelan tindakan yang akan dilakukan dalam menangani isu tersebut di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, pihaknya kecewa apabila pihak kerajaan negeri tidak memaklumkan sebarang pelan tindakan dalam berdepan krisis air sehingga menyebabkan ada penduduk sudah lapan hari terputus bekalan air.

Menurutnya, beliau difahamkan paras air di dua empangan berada dalam keadaan kritikal terutama Empangan Durian Tunggal, namun setakat ini paras air di setiap empangan berkenaan tidak dimaklumkan.

"Saya juga difahamkan sesetengah tempat yang terjejas di daerah Melaka Tengah dan Jasin tidak dimaklumkan lebih awal catuan air akan berlaku. Kami mewakili rakyat perlu tahu apa yang berlaku dan apa tindakan Ketua Menteri.

"Rakyat juga telah beberapa hari bersabar dan sampai bila mereka harus bersabar," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Pas negeri berharap kerajaan negeri segera bertindak dengan membeli air dari negeri jiran bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini bukannya setakat meminjam lori pengangkut air sahaja.

"Penggunaan air sehari untuk rakyat negeri Melaka sebanyak 600 juta liter tetapi ia sukar dicapai dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan: