HCTM UKM tiada kaitan dengan kes doktor pukul isteri

A
A

SHAH ALAM - Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan seorang lelaki yang memukul bekas isteri dan bapa mentua.

Menerusi satu kenyataan, pihak pengurusan HCTM UKM mengakui lelaki berkenaan yang juga seorang doktor berkhidmat di Hospital itu sejak tahun 2017, namun meletakkan jawatan pada April lalu.

Maka katanya, pihak HCTM UKM tidak mempunyai sebarang kaitan dengan lelaki terbabit sebagai mana dihebahkan media.

Sejak Sabtu lalu, kes berkenaan tular di media sosial selepas video seorang doktor wanita cedera di kepala akibat dipukul bekas suami di Jalan Utarid Sungai Buloh.

Difahamkan wanita itu diserang kerana bekas suaminya kerana tidak berpuas hati berkaitan hak penjagaan anak yang masih berjalan di mahkamah.

Pemuda itu ditahan pihak polis, namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Suspek berusia 34 tahun itu dibebaskan pada Isnin lepas atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatan.

Ia turut mengundang reaksi Kementerian Kesihatan (KKM) dua hari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebarang tindakan berhubung perbuatan lelaki itu akan dibuat selepas siasatan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM tunggu maklumat kes doktor cederakan bekas isteri, mentua