Warga emas jadi pengantin baharu

Muajam (kanan) menyarungkan cincin kepada Siti Habsah dalam majlis Nikah Jamaie Syarie di sini.
Muajam (kanan) menyarungkan cincin kepada Siti Habsah dalam majlis Nikah Jamaie Syarie di sini.
A
A
A

IPOH - Pasangan warga emas selamat dinikahkan pada Majlis Nikah Jamaie Syarie Kali ke-7 Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah semalam.

Pasangan terbabit, Muajam Saion, 62, dan Siti Habsah Mohd Isa, 57, sebelum ini saling mengenali antara satu sama lain.

Muajam berkata, suri hatinya adalah rakan baik kepada arwah isterinya yang meninggal tiga tahun lalu.

"Perkahwinan ini juga adalah sebahagian wasiat arwah isteri saya untuk menjadikan Siti sebagai teman hidup. Mereka berdua adalah sahabat baik," katanya.

Pesara itu memberitahu, dia memilih menyertai majlis berkenaan kerana lebih mudah dan meriah dengan kehadiran ramai tetamu.

Seramai 17 pasangan diraikan serentak dalam majlis Nikah Jamaie Syarie di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.
Seramai 17 pasangan diraikan serentak dalam majlis Nikah Jamaie Syarie di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Sementara itu, Norliya Amir, 31 dan adiknya, Ghazali Amir, 24, memilih untuk melangsungkan pernikahan ini bersama pasangan masing-masing kerana lebih jimat dan menepati syariat Islam.

"Sepatutnya saya melangsungkan pernikahan bersama Harussani Badrul Shah, 31, pada Disember depan namun pakej yang ditawarkan lebih jimat dan kami sepakat mendaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia mengajak adiknya dan keluarga juga tidak menolak kerana kosnya hanya RM3,000 lengkap dengan keperluan pengantin.

Dua pasangan pengantin itu antara 17 pasangan yang diijabkabulkan secara serentak pada program sempena Hari Malaysia di sini semalam.

Kesemua pasangan berusia 21 hingga 62 tahun itu dinikahkan pada majlis anjuran Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jaipk, Harith Fadzilah Abd Halim.

Pada majlis itu, pasangan Mohamad Izzat Mohammad Jasni dan Puteri Marsheila Saiful Rizan masing-masing berusia 22 tahun memenangi pakej umrah bernilai RM12,000 menerusi cabutan bertuah.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan, Asmuni Awi.