Israel lulus penempatan haram baharu menjelang pilihan raya

Kabinet Israel meluluskan penempatan haram Mevoot Yericho sebagai 'penempatan rasmi'.
Kabinet Israel meluluskan penempatan haram Mevoot Yericho sebagai 'penempatan rasmi'.
A
A
A

TEL AVIV - Kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam (Ahad) meluluskan projek penempatan haram baharu di Tebing Barat, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum berlangsung.

Knesset bersetuju untuk memberi kelulusan kepada penempatan haram Mevoot Yericho di Lembah Jordan sebagai 'penempatan rasmi' walaupun undang-undang antarabangsa menetapkan kesemua penempatan itu sebagai tidak sah.

Perkembangan terbaru itu dibuat selepas Netanyahu pada minggu lalu berikrar untuk merampas Lembah Jordan yang meliputi satu pertiga daripada Tebing Barat jika beliau menang dalam pemilihan esok.

"Kerajaan luluskan usul dibuat beliau," menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri.

Netanyahu juga mengumumkan rancangan beliau untuk memperluaskan kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dengan penyelarasan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang turut akan mengeluarkan pelan damai digelar 'Deal of the Century' selepas pilihan raya tersebut.

Pelan itu dijangka memusnahkan sebarang usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin.

Pengumuman yang dibuat Netanyahu untuk merampas Lembah Jordan turut dikecam Kesatuan Eropah (EU) dan PBB walaupun beliau menyatakan langkah itu tidak melibatkan bandar didiami penduduk Palestin seperti di Jericho. - AFP

Artikel Berkaitan: