Isu projek RM450 juta: Guan Eng akan bincang dengan PM

Guan Eng bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program PKPS di Dewan Mutiara, Menara Hasil Petaling Jaya hari ini.
Guan Eng bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program PKPS di Dewan Mutiara, Menara Hasil Petaling Jaya hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kelulusan projek pembinaan bangunan Gunasama Persekutuan di Kota Bharu, Kelantan yang didakwa dilakukan secara rundingan terus.

Beliau berkata, kelulusan projek berkenaan bukan ditandatangani beliau, sebaliknya berkemungkinan ditandatangani oleh pegawai lain di Kementerian Kewangan.

"Ia bukan ditandatangani saya. Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri dahulu. Ia mungkin ditandatangani oleh pegawai lain tapi berapa ramai pegawai di Kementerian Kewangan?" katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) di Menara Hasil Petaling Jaya di sini hari ini.

Surat kelulusan projek bertarikh 26 Julai mengatakan Kementerian Kewangan bersetuju syarikat tertentu dilantik melalui rundingan terus dengan kos RM450 juta itu tersebar di media sosial.

Dr Mahathir semalam memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai kelulusan projek berkenan dan akan menyemak perkara tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Menurutnya, Petronas akan terkesan sekiranya harga minyak dunia naik susulan serangan loji penapis dan telaga minyak di Arab Saudi.

"Tetapi untuk negara dan pengguna, ia akan ada kesan kepada subsidi yang kita bayar. Itu akan naik.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu kaji lebih mendalam. Buat masa ini tidak naik (RON95). Tapi kita kena lihat perkara lain berdasarkan perkembangan dengan asas kukuh dan jangka panjang," katanya.

Terdahulu Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA kelmarin berkata, negara terbabit menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.