Persandingan ala Cinderella

A
A
A

IPOH - Impian seorang bapa menjadikan perkahwinan anak bongsunya umpama puteri kisah dongeng, Cinderella tercapai apabila pasangan pengantin itu tiba dengan menaiki kereta kuda di Iskandar Polo Club di sini semalam.

Lebih bermakna apabila kereta kuda itu dihiasi sendiri bapa pengantin, Ramli Abu Itam, 64, menjadikan perkahwinan anaknya, Sofea, 25 dan pasangan, Kapten Muhammad Uzair Sukree, 28, berlangsung meriah.

Majlis pasangan itu juga diserikan dengan istiadat ketenteraan apabila pengantin melalui bawah pedang atau sword barrel.

Ramli berkata, tema puteri dongeng itu tercetus setelah anaknya mengikat tali pertunangan tahun lalu dan menganggap ia adalah hadiah perkahwinan buat anaknya dan pasangan.

"Setiap perkahwinan anak-anak saya, saya akan rancang sesuatu istimewa yang mana tiga lain bertemakan tradisi Bali, Legenda Mahsuri dan kisah dongeng.

"Bagi Sofea, saya rancang untuk berarak menaiki kereta kuda seperti Cinderella. Saya berusaha untuk membuatkan dia gembira di hari istimewanya," katanya.

Sementara itu, Sofea berkata, dia yang merupakan peminat fantasi Disney tidak menyangka perancangan bapanya itu dapat direalisasikan.

"Ayah ada maklumkan mengenai perancangannya itu dan ia betul- betul menjadi apabila ayah buat hebahan jemputan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pernah terfikir dapat menaiki kereta kuda ini dan saya sangat gembira dapat menunaikan impian ayah. Ini menjadi kenangan teristimewa untuk kami," katanya.