A
A

PENAMPILAN Ashley, Yeen Loo Ong pada Khamis pagi minggu lalu ringkas dan kasual. Beliau menyarungkan persalinan jumsuit polos dan mengenakan solekan tipis. Rambutnya ikal mayang dibiarkan mengurai.

Sebelum berbicara, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sempat menyediakan secangkir kopi ketika ditemui kru Femina di suite sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Inilah rutin kehidupan saya apabila hotel ibarat rumah kedua dan pejabat bergerak disebabkan dalam tempoh seminggu saya tidak akan kekal lama di satu-satu destinasi.

"Lazimnya saya akan berulang-alik antara Pulang Pinang, Kuala Lumpur, Singapura atau Hong Kong. Penat memang penat, namun demi 'kesayangan' saya sanggup," jelas wanita muda berusia 29 tahun itu sambil menguntumkan senyuman.

Kesayangan dimaksudkan beliau adalah merujuk pada rangkaian produk kecantikan wajah jenama CS12 Beauty International Sdn Bhd (CS12) yang diasaskan di Pulau Pinang pada tahun 2010.

"Ia merupakan bisnes keluarga yang mana saya dan adik meneruskan perjuangan ibu dalam legasi jenama itu.

"Pengalaman ibu lebih tiga dekad dalam bidang kecantikan menyuntik pemangkin buat saya untuk turut berkecimpung dalam industri yang sama meskipun terpaksa meninggalkan kerjaya media," jelas Pengarah Urusan CS12 Beauty International Sdn Bhd tersebut.

Kini Ashley mampu tersenyum apabila kesungguhannya memperkenalkan jenama CS12 mendapat permintaan tinggi khususnya di pasaran Hong Kong dan Singapura.

Sementara itu, beliau turut memberitahu Femina, ada makna istimewa yang tersirat di sebalik nama CS12.

Jelas usahawan tersebut, huruf C dan S adalah singkatan daripada perkataan Clear Skin (kulit bersih). Sementara, nombor 12 pula simbolik pada jumlah bulan yang terdapat dalam setahun.

Persoalannya, apakah keistimewaan produk CS12 sehingga ia berjaya menembusi pasaran luar Malaysia?

Ikuti perkongsian eksklusif Ashley bersama wartawan Femina, Izyan Liyana Mohd Darif di Kuala Lumpur baru-baru ini.

1 Mengapa CS12 memilih produk kecantikan kulit wajah sebagai bisnes utama berbanding produk rambut ataupun suplemen kesihatan badan?

ASHLEY: Idea memperkenalkan rangkaian produk kecantikan tercetus daripada inspirasi pengalaman kami sendiri khususnya ibu yang mengalami kesukaran untuk mengatasi kulit wajah sensitif. Biarpun terdapat lambakan produk kecantikan wajah baik jenama tempatan mahupun antarabangsa di pasaran, namun ia belum mampu merawat kulit wajah sensitif secara holistik.

Pendirian ibu, selagi belum menemui produk yang berjaya membantu menyelesaikan masalah kulit wajah sensitif, maka selagi itu beliau terus komited mencapai misinya.

Berbekalkan pengalaman selama 35 tahun dalam industri kecantikan, ibu amat peka dalam mencari solusi, formula, teknologi dan produk yang berupaya mengatasi masalah kulit sensitif.

Usaha beliau akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menemui formula yang menggabungkan bahan aktif dan ekstrak bunga-bungaan dengan menggunakan teknologi moden dari Jerman.

2 Jika diperhatikan sebahagian besar jenama tempatan lebih cenderung mengeluarkan produk yang mendapat sentuhan daripada Perancis, Korea atau Jepun, tetapi CS12 pula sebaliknya. Apakah keistimewaan bahan-bahan dan teknologi Jerman yang digunakan CS12?

Menariknya, ekstrak botanikal seperti primula veris, veronica officinalis atau malva sylvestris dari negara berkenaan (Jerman) lebih bermanfaat untuk kulit wajah sensitif berbanding tumbuhan aloe vera.

Hasil ujian klinikal yang dijalankan ke atas aloe vera hanya merawat pada lapisan atas kulit, sedangkan ekstrak bunga-bungaan dari Jerman bertindak dari atas hingga ke lapisan bawah kulit.

Secara tidak langsung, rangkaian produk CS12 bukan sekadar merawat kekeringan dan menenangkan kulit, bahkan paling utama bertindak mengatasi kulit wajah sensitif sebanyak 99 peratus. Pada masa sama, CS12 turut membantu menghentikan kegatalan, iritasi dan kemerahan disebabkan alergi.

Sementara itu, berbicara mengenai aspek teknologi pula, umum mengetahui Jerman antara negara yang memiliki kepakaran dan mesin terbaik. Perkhidmatan mereka bukan sahaja konsisten dan maju seiring peredaran zaman, malah produk yang dihasilkan menggunakan teknologi di sana juga tidak pernah menghampakan.

3 Apakah yang akan berlaku sekiranya kulit wajah sensitif tidak dirawat dengan baik?

Ironinya, kulit sensitif tidak boleh dirawat dalam tempoh yang singkat. Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan mengamalkan cara hidup sihat antaranya memperbanyakkan minum air putih dan cuci wajah sebelum tidur.

Selain itu, pastikan anda tidak sewenang-wenangnya mengoles wajah dengan menggunakan alat solek atau krim tanpa meneliti kandungan bahan di dalamnya.

Bimbang pemilihan produk wajah yang salah akan menyebabkan kulit sensitif menjadi lebih teruk sekali gus meningkatkan masalah jerawat, kegatalan dan kemerahan.

4 Justeru, bagaimana CS12 mampu mengatasi masalah kulit sensitif yang merupakan igauan ngeri buat golongan wanita khususnya?

Mereka yang memiliki kulit wajah jenis sensitif usah bimbang kerana rangkaian produk CS12 sememangnya dihasilkan khas untuk merawat masalah berkenaan.

Satu daripada produk kami yang laku keras di Hong Kong dan Singapura ialah CS12 Miracle Mask (30ml). Ia merupakan topeng wajah kain sutera tiga lapisan yang berkualiti tinggi. Kandungan ekstrak bunga-bungaan dari Jerman, asid hyaluronic dan vitamin B3 membantu menenangkan kulit wajah dan antikeradangan memandangkan ia bersifat sejuk.

Ia termasuklah merawat selaran matahari, menanggalkan sel kulit mati dan mengecilkan pori-pori yang boleh menyebabkan kulit wajah berminyak.

Bukan itu sahaja, CS12 Miracle Mask tersebut turut membantu mencerah dan mengurangkan garis-garis halus pada wajah.

Cara penggunaannya cukup mudah, apatah lagi ia akan melekap lebih sempurna. Letakkan topeng pada kulit wajah yang telah dibersihkan daripada kotoran antara 30 hingga 40 minit.

Sepanjang tempoh itu, inti pati yang terkandung dalam topeng akan meresapkan dengan baik pada kulit wajah. Kemudian, cuci wajah menggunakan air bersih, lalu oleskan krim pelembap, esen dan serum untuk hasil yang lebih maksimum.

Sementara itu, pengguna juga bebas sama ada memakai CS12 Miracle Mask pada sebelah siang (melindungi) atau malam (membaiki) kerana ia mempunyai dwi fungsi.

5 Selain Miracle Mask, apakah produk signatur CS12 yang harus dimiliki individu kulit sensitif?

Semestinya, CS12 The Calming Ampoule iaitu serum dan esen yang mengembalikan kelembapan dan melindungi kulit wajah.

Ekstrak daun witch hazel, primula veris dan veronica officinalis serta asid hyaluronic yang dirumus khas itu boleh merawat iritasi, meningkatkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedutan serta garis halus. Menariknya lagi, ia dihasilkan di dalam botol mini yang mudah dibawa dan disimpan di dalam beg tangan.

6 Difahamkan, CS12 terlebih dahulu menembusi pasaran kecantikan di negara jiran, Singapura dan Hong Kong sehingga menerima sambutan yang cukup menggalakkan. Adakah inisiatif tersebut salah satu strategi pemasaran atau CS12 tidak yakin dengan kuasa membeli di Malaysia?

Bukan kami yang tidak yakin dengan kuasa membeli di tanah air sendiri, tetapi sebahagian besar sikap pengguna yang meragui produk buatan Malaysia.

Biarpun CS12 menggunakan bahan-bahan semula jadi dan teknologi dari Jerman, namun sukar untuk memikat kepercayaan orang ramai akan keberkesanan barangan kecantikan tempatan.

Jadi langkah terbaik kami mengatur jualan di pasaran Singapura dan Hong Kong. Amat mengejutkan apabila percaturan CS12 menunjukkan respon positif. Misalnya, wanita Hong Kong sangat menggilai CS12 Miracle Mask kerana topeng tersebut disifatkan merawat masalah kulit wajah secara keseluruhan.

Walaupun terdapat jenama yang cuba meniru konsep topeng kami dan dijual pada harga lebih rendah, tetapi golongan wanita tetap mencari CS12. Ia berikutan ramuan yang digunakan dalam topeng tiruan khasiatnya tidak sama seperti CS12 Miracle Mask.

7 Tahun depan, CS12 bakal menyambut ulang tahun ke-10. Apakah perancangan yang bakal dilaksanakan sempena meraikan usia sedekad dalam industri kecantikan?

Jika diikutkan, terlalu banyak agenda disenaraikan untuk tahun depan, namun CS12 akan melaksanakannya secara berperingkat demi kepuasan pelanggan. Salah satunya, kami bercadang membuka spa kecantikan yang menggunakan rangkaian produk CS12 di Kuala Lumpur dan Hong Kong.

Setakat ini, kami baru saja merasmikan pembukaan pusat kecantikan CS12 yang pertama berpangkalan di Juru Sentral, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pada masa sama, bakal melantik duta CS12 sempena tahun 2020.

ANEKDOT

Nama penuh: Ashley, Yeen Loo Ong

Umur: 29 tahun

Asal: Pulau Pinang

Bilangan adik-beradik: Anak sulung daripada dua beradik

Pendidikan: Ijazah Penyiaran, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya, Selangor

Hobi: Membaca

Warna kegemaran: Biru

Info CS12Produk yang terdapat di pasaran:

-Miracle Mask

-Infinity Aqua Essence

-Soothing Gel

-Hydro Serum

-The Calming Ampoule

-Hyro Milk

-Infinity Aqua Care

-Active Night Serum

Lokasi: CS12 Skin Care Flagship Beauty Salon, 15-2, Jalan Juru Sentral, Juru Sentral, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Telefon: 012-2769 729

E-mel: support@cs12skincare.com

Web: cs12skincare.com.my

Facebook: @CS12SkinCare

Instagram: @cs12skincare