X

Kindly register in order to view this article
!

IPU sangat tidak sihat: Aktiviti harian di Tangkak berjalan seperti biasa

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, 209 direkodkan di Tangkak sehingga jam 2 petang ini.
A
A

TANGKAK - Aktiviti harian penduduk di sini berjalan seperti biasa namun mereka mengambil langkah berjaga-jaga apabila kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat 209 sehingga jam 2 petang ini.

Penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan Persekutuan di sini, Nur Syafika Roslee, 37, berkata, beliau mengetahui IPU di kawasan itu berada pada tahap sangat tidak sihat pagi tadi dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut.

"Saya membawa anak ke kelas tambahan hari ini dan pakaikan anak penutup hidung dan mulut, aktiviti harian masih dibuat seperti biasa juga kerana pada masa ini asap jerebu itu ada tetapi nampak masih tidak banyak.

"IPU lebih 200 tetapi bila tengok fizikalnya tidak nampak teruk masih boleh jika nak buat aktiviti harian biasa seperti keluar rumah beli barang, cuma tidak lama sangat di luar," katanya.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Tangkak mula mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 203 pada 7 pagi tadi.

Khalid Md Isa, 41, seorang pekerja am di Majlis Daerah Tangkak berkata, masih tidak ramai penduduk yang memakai penutup hidung dan mulut, malah ada penduduk yang masih melakukan aktiviti rekreasi di Laman Ledang tempat beliau bekerja.

"Ada juga yang masih buat penggambaran video dan gambar perkahwinan hari ini, tetapi saya menasihatkan penduduk yang datang ke sini supaya tidak berada lama-lama kerana kualiti udara di sini sudah tidak baik.

"Ramai yang tidak tahu (kualiti udara sangat tidak sihat) kerana jerebu itu tidak nampak jelas sangat seperti 2013 dahulu, pada masa itu langsung tidak nampak apa, jerebu kuning sahaja," katanya.

Mekanik bengkel kereta, M Sukumaran, 32, berkata, jarak penglihatan pada masa ini masih melebihi 100 meter membuatkan penduduk di sini tidak begitu merasai keadaan berjerebu itu.

"Tetapi tekak dan kulit sudah mula rasa gatal-gatal kalau lama sangat di luar. Jadi kita ambil langkah jaga-jaga minum air masak banyak-banyak," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!