X

Kindly register in order to view this article
!

Mubarak cadang Pas-UMNO wujudkan Kabinet bayangan

Abdul Aziz Rahman
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mencadangkan Pas dan UMNO mewujudkan Kabinet bayangan dalam masa terdekat bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap hala tuju kerjasama politik mereka pada masa hadapan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, inisiatif mewujudkan Kabinet bayangan amat diperlukan bagi membolehkan UMNO dan Pas serta rakan-rakan parti komponen mengetahui bidang kuasa masing-masing sekiranya kembali menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, beliau menegaskan keperluan kabinet bayangan membolehkan pemimpin-pemimpin berpotensi daripada kedua-dua parti dilatih keupayaan dan kemahiran untuk memimpin portfolio kementerian ditetapkan.

"Kita dapat melihat menteri-menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunjukkan prestasi baik dalam memimpin portfolio kementerian dipegang disebabkan ketiadaan persediaan awal.

"Saya yakin sekiranya kesemua pemimpin berpotensi menjawat jawatan kabinet bayangan dilatih lebih awal, transisi peralihan pentadbiran kerajaan selepas PRU15 sekiranya dimenangi pakatan UMNO-Pas akan menjadi lebih licin dan mudah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan isu pembahagian kerusi pilihanraya bakal menjadi cabaran paling besar perlu dihadapi UMNO dan Pas bagi mengekalkan kelestarian kerjasama politik mereka.

Menurutnya, kedua-dua parti perlu mengelak bersikap tamak kuasa sehingga tidak rela berkompromi keputusan pembahagian kerusi pilihan raya pada PRU15.

"Toleransi pembahagian kerusi pilihan raya mesti dimuktamad lebih awal dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu menyokong keputusan pembahagian kerusi secara bersama.

"Selain itu, kelestarian kerjasama politik Pas-UMNO hanya boleh bertahan sekiranya nilai-nilai kepimpinan menyebabkan tumbangnya kerajaan BN pada pilihanraya umum ke-14(PRU14) dapat dihapuskan daripada politik perdana," katanya.

Hari ini, UMNO dan Pas melakar sejarah politik negara apabila menandatangani piagam kerjasama politik di antara dua parti Melayu terbesar di negara ini dalam satu program Himpunan Perpaduan Ummah di bangunan Putra World Trade Centre (PWTC).