X

Kindly register in order to view this article
!

Cukai taksiran MBPP, MPSP akan dinaikkan

Jagdeep Singh Deo
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Pulau Pinang akan menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah bermula tahun hadapan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, perbelanjaan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan bagi Bajet 2019 menunjukkan defisit menyebabkan kerajaan negeri merasakan pendapatan dan hasil cukai taksiran perlu ditingkatkan.

Menurutnya, kedua-dua PBT berkenaan sedang mengkaji dan akan berbuat demikian sebagai salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Sejak 2016 hingga tahun ini, setiap tahun menunjukkan kedua-dua PBT mempunyai bajet defisit. Bagi MBPP, bagi Bajet 2019, anggaran hasil adalah RM411.42 juta berbanding anggaran perbelanjaan iaitu RM506.03 juta. Ini bermakna Bajet 2019 merupakan satu bajet defisit sebanyak RM94.61 juta.

"Bagi MPSP pula, pendapatan dan perbelanjaan pada 2016 dan 2017, MPSP mengalami defisit sebanyak RM24.19 juta dan RM17.03 juta akibat peningkatan ketara kos perbelanjaan perkhidmatan.

"Dalam pembentangan Bajet 2019, anggaran hasil MPSP ialah RM271.23 juta berbanding anggaran perbelanjaan RM295.99 juta yang mana ia juga satu bajet defisit sebanyak RM24.76 juta," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini semalam.

Jagdeep berkata, Kerajaan Pulau Pinang pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 19 Julai lalu telah meluluskan permohonan MBPP dan MPSP untuk menyemak semula senarai nilaian sedia ada yang berasaskan kepada nilai tahunan 15 tahun lalu.

"Jumlah pegangan yang ditaksir setakat Jun 2019 dalam kawasan pentadbiran MBPP adalah 322,549 manakala MPSP adalah sebanyak 327,401 pegangan.

"Semua pemilik hartanah di negeri ini, sama ada di bahagian pulau atau seberang akan dikenakan peningkatan kadar penilaian ini.," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada kajian penilaian semula yang telah dijalankan, Senarai Nilaian Baru 2020 dijangka akan dapat meningkatkan pendapatan MBPP bagi hasil cukai sebanyak RM54,338,822 pada tahun hadapan.

"Sementara itu, berdasarkan kepada kajian Penilaian Semula yang telah dijalankan, Senarai Nilaian baru 2020 bagi MPSP dijangka akan dapat meningkatkan pendapatan bagi hasil cukai sebanyak RM39,743,077 pada tahun 2020.

"Cadangan kenaikan kadar cukai ini menunjukkan kedua-dua PBT di Pulau Pinang masih berada pada tahap yang lebih rendah berbanding dengan PBT negeri lain yang setaraf dengannya.

"Pertambahan hasil cukai baharu ini akan digunakan dan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang melalui pembangunan bandar, kerja-kerja pembersihan, penyelenggaraan jaringan jalan raya, penambahbaikan kemudahan awam dan banyak lagi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus